
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku pegawainya dan tindakan disiplin akan diambil sekiranya individu itu didapati melakukan kesalahan.
“Pengambilan gambar tersebut adalah sebahagian daripada tatacara untuk tujuan rekod sahaja. Bagaimanapun gambar berkenaan berkemungkinan dikongsikan dengan pihak luar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
MCMC bagaimanapun berkata, tindakan pegawainya mengambil gambar seorang bekas menteri semasa sesi rakaman percakapan baru-baru ini tidak menyalahi mana-mana prosedur operasi standard (SOP) seperti yang didakwa.
Terdahulu, MCMC bersama polis merakam keterangan seorang bekas timbalan menteri kerana menyebarkan berita palsu menerusi klip video yang mendakwa situasi di luar kawalan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).
Rakaman percakapan tersebut diambil di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPK Polis Pahang pada 9 malam 10 April lalu.
MCMC berkata, bekas timbalan menteri itu disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian yang boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara 1 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bahkan, ahli Parlimen berkenaan turut disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam, yang membawa hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.