
Ia berjumlah RM4.9 bilion dengan 8.3 juta individu layak dikenalpasti untuk pembayaran, katanya.
Tambahan 2.77 juta permohonan baru untuk BPN juga telah diterima.
“Melihat ke depan, saya harap rakyat atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang masih belum mendapat bantuan daripada pakej rangsangan ekonomi Prihatin akan kemukakan permohonan mereka secepat mungkin,” katanya ketika berucap mengenai status pembayaran BPN tengah hari tadi.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga menerima 274,000 permohonan rayuan.
Di bawah program Prihatin, kerajaan akan membayar antara RM500 dan RM1,600 kepada golongan dalam kumpulan B40 dan M40.
Tengku Zafrul berkata daripada 6.6 juta permohonan yang diluluskan, 3.2 juta (96.6%) adalah isi rumah B40 (yang menerima sejumlah RM3.17 bilion), dan 3.4 juta (92.3%) adalah individu bujang B40 (yang menerima sejumlah RM1.71 bilion).
Beliau menambah RM750 juta akan diagihkan kepada 1.5 juta penerima minggu ini.
Katanya, puluhan ribu pemandu teksi, pemandu pelancong dan pengayuh beca menerima bantuan RM600 yang dijanjikan kepada mereka.
Sementara itu, beliau berkata lebih 90,000 pemandu e-panggilan sepenuh masa akan menerima insentif RM500 pada 20 April, yang melibatkan RM45 juta.
Tengku Zafrul berkata elaun bulanan sebanyak RM600 kepada petugas barisan hadapan kesihatan dan RM200 untuk petugas barisan hadapan lain akan dibayar bulan ini bagi memberi manfaat kepada 200,000 penjawat awam.
Mengenai bantuan kepada pelajar, beliau berkata bayaran RM200 secara “one-off” untuk pelajar universiti yang turut diperluaskan kepada pelajar Tingkatan 6, dan tahap 4 Sijil Kemahiran Malaysia (atau bersamaan dengan kedua-duanya), berjumlah RM300 juta.
Beliau berkata sejumlah 1.5 juta pelajar akan menerima bantuan kewangan menerusi Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
Tengku Zafrul berkata kira-kira 3,000 PKS akan menerima bantuan bawah kemudahan bantuan khas yang disediakan Bank Negara, yang bernilai RM1.48 bilion.
Bagi program I-lestari bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), 1.17 juta daripada 1.2 juta permohonan diberi kelulusan untuk mengeluarkan RM572 juta untuk Mei 2020.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan pencarum KWSP boleh mengeluarkan RM500 setiap bulan selama 12 bulan dari Akaun 2 mereka.
Mengenai subsidi gaji yang disediakan oleh kerajaan, beliau berkata sehingga 12 April, 31,000 majikan dan 299,000 pekerja telah memohon.
Sebanyak 98% daripada mereka adalah PKS dengan 75 pekerja atau kurang.
Nilai keseluruhan permohonan dianggarkan berjumlah RM307 juta.
Kerajaan juga menerima permohonan daripada 6,900 majikan untuk 47,000 pekerja yang meminta bantuan di bawah program pengekalan pekerjaan, di mana RM600 akan diberikan setiap bulan kepada pekerja yang dipaksa bercuti tanpa gaji.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin bernilai RM250 bilion bulan lalu bagi membantu individu dan perniagaan yang terjejas berikutan penutupan perniagaan akibat Covid-19.
Pada 6 April, beliau turut mengumumkan tambahan RM10 bilion untuk membantu PKS.
Enam daripada 10 teras utama di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin bernilai RM180 bilion mula dilaksanakan.
Empat teras yang bernilai RM66 bilion akan dilaksanakan bermula 1 Mei.