
Ketika dunia masih leka terhadap potensi bahayanya wabak Covid-19 yang sedang merebak dengan cepat dari Wuhan, Australia dan Taiwan sudah mencatatkan 4 jangkitan baru di wilayah mereka.
Kedua-dua negara ini mempunyai populasi yang hampir sama iaitu kira-kira 24 juta orang, kedua-duanya pulau yang membolehkan kawalan ketat ke atas sesiapa yang melintasi sempadan mereka, serta mempunyai hubungan perdagangan dan pengangkutan yang kuat dengan tanah besar China lapor Iluminasi.
Bagaimanapun, 10 minggu kemudian, Australia mempunyai lebih daripada 6,000 kes Covid-19 sementara Taiwan mempunyai kurang daripada 400 kes.
Persoalannya bagaimana Taiwan mengawal penularan virus itu ketika dunia yang lain tidak lakukan.
Taiwan bukan anggota WHO
Berhadapan dengan virus baru, pakar penyakit berjangkit dan juga pegawai kerajaan bersedia untuk melaksanakan langkah-langkah untuk mengawal dan mengurangkan kerosakan akibat virus ini.
Beberapa buah negara di Asia dipuji kerana kawalannya yang agak berjaya terhadap gelombang pertama wabak itu, termasuklah Singapura, Korea Selatan, dan Hong Kong.
Namun apa yang tidak disebutkan berkenaan dengan pencapaian sebuah negara di Lautan Pasifik dalam memerangi Covid-19.
Sebabnya sangat jelas, iaitu kerana Taiwan bukanlah anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) selepas dibantah oleh China.
Tiada maklumat jelas dari Taiwan dipaparkan dalam taklimat harian oleh WHO.
China, yang mendakwa Taiwan sebahagian daripada wilayahnya walaupun Taiwan berfungsi sebagai negara berdaulat dengan kerajaan bebas yang dipilih secara demokratik, menghalang keanggotaan organisasi antarabangsa Taiwan.
Sejak 2017, Taiwan dihalang daripada menghadiri tahunan Perhimpunan Kesihatan Sedunia akibat pelobian oleh China.
Dan dalam wabak Covid-19, Taiwan juga dikecualikan daripada mesyuarat kecemasan WHO.
Belajar dari pengalaman lalu
Semasa wabak sindrom pernafasan akut teruk (SARS) pada tahun 2003, Taiwan antara wilayah yang paling teruk terjejas bersama-sama dengan Hong Kong dan selatan China.
Lebih daripada 150,000 orang dikuarantin di pulau itu dan 181 orang meninggal dunia.
Walaupun SARS tidak boleh dibandingkan dengan krisis Covid-19, namun ia menyebabkan kejutan di sebahagian besar Asia dan memberikan kesan terhadap bagaimana orang akan bertindak balas terhadap wabak di masa depan.
Ini membantu banyak bahagian di wilayah itu untuk bertindak balas dengan cepat kepada wabak Covid-19 dan tidak bersikap acuh tak acuh berbanding negara-negara lain seperti Amerika Syarikat.
Taiwan menjadi sangat berhati-hati apabila kes pertama pneumonia misteri dilaporkan di Wuhan, China.
Taiwan memandang wabak Covid-19 dengan sangat serius di peringkat kerajaan dan masyarakat, dengan kawalan sempadan dan memakai topeng pantas menjadi rutin seawal bulan Januari di kebanyakan kawasan.
Taiwan juga mempunyai sistem penjagaan kesihatan bertaraf dunia, dengan liputan universal.
Ketika berita mengenai Covid-19 mula muncul dari Wuhan ketika Tahun Baru Cina, para pegawai di Pusat Perubatan Kesihatan Nasional (NHCC) Taiwan bertindak pantas untuk bertindak balas terhadap ancaman yang berkemungkinan.
Taiwan dengan segera menghasilkan dan melaksanakan senarai 124 tindakan dalam tempoh 5 minggu untuk melindungi kesihatan awam.
Dasar dan tindakan yang dilaksanakan melampaui kawalan sempadan kerana mereka mengakui itu tidak mencukupi.
Dan semua ini dilakukan Taiwan ketika mana negara-negara lain masih berdebat sama ada mahu mengambil tindakan atau tidak.
Dalam satu kajian yang dijalankan pada bulan Januari, Johns Hopkins University berkata Taiwan salah satu kawasan yang paling berisiko di luar tanah besar China disebabkan oleh jarak yang sangat dekat, hubungan dan pautan pengangkutan.

Antara langkah awal yang menjadi penentu keputusan untuk mengharamkan perjalanan dari banyak bahagian China, tidak membenarkan kapal pesiar berlabuh di pelabuhannya dan memperkenalkan hukuman yang ketat bagi sesiapa yang didapati melakukan pelanggaran perintah kuarantin di rumah.
Di samping itu, pihak berkuasa Taiwan juga meningkatkan pengeluaran topeng domestik untuk memastikan bekalan tempatan mencukupi, melancarkan ujian Covid-19 di seluruh pulau itu, termasuk ujian semula pesakit yang sebelum mengalami pneumonia misteri serta mengumumkan hukuman baru terhadap penyebaran maklumat palsu berkenaan virus ini.
Kerajaan Taiwan belajar dari pengalaman SARS pada 2003 dan menubuhkan mekanisme respon kesihatan awam untuk membolehkan tindakan pantas untuk krisis seterusnya.
Pasukan terlatih dan berpengalaman mengenal pasti krisis ini dengan pantas dan mengaktifkan struktur pengurusan kecemasan bagi menangani wabak yang baru muncul.
Peningkatan kes-kes di Taiwan berlaku pada bulan Mac, kebanyakannya dari kalangan pelajar atau ekspatriat yang kembali dari Eropah dan Amerika Utara.
Walaupun ia memberikan ketegangan tambahan kepada sistem, kuarantin yang ketat telah dilaksanakan.
Menggunakan teknologi untuk membendung Covid-19
Ketika ini, 80,000 orang diasingkan dan diawasi melalui telefon serta pemeriksaan suhu dan gejala dilakukan setiap hari.
Sekiranya data GPS dari telefon individu yang dikuarantin menunjukkan pergerakan di luar julat tertentu, panggilan telefon lanjutan akan dibuat bagi mengesahkan lokasi individu tersebut.
Taiwan memulakan ujian RT-PCR Covid-19 pada bulan Januari.
Pada mulanya, ujian-ujian dilakukan terhadap mereka yang pulang dari kawasan epidemik atau pesakit bergejala dengan sejarah perjalanan yang relevan.
Apabila berlakunya peningkatan bilangan kes di negara-negara Asia, pihak berkuasa kesihatan melakukan pemeriksaan retrospektif bagi pesakit yang dilaporkan mempunyai selesema yang teruk.
Dengan ini, Taiwan mengenal pasti kes pertama tanpa sebarang sejarah perjalanan melibatkan seorang pemandu teksi yang membawa penumpang dari Zhejiang, China.
Oleh itu, CECC dengan pantas mengubah kriteria terhadap pengawasan dan pengujian berdasarkan perkembangan wabak itu.
Terbaru, mana-mana pesakit yang melaporkan kehilangan deria bau atau rasa wajib menjalani ujian.
Sehingga 9 April 2020, hanya 373 kes dilaporkan dengan 5 kematian di Taiwan.
Berbeza dengan laporan terdahulu dari China, demografi pesakit di Taiwan jauh lebih muda (dengan usia median 32) dengan lebih ramai pesakit perempuan (57%) berbanding pesakit lelaki (43%).
Malah, hanya 49% daripada pesakit mengalami demam sementara 37% mempunyai rhinorrhea (biasanya dirujuk sebagai hidung berair).
Hanya 7% pesakit sahaja yang mengalami dengan radang paru-paru penuh.
Sebagai tambahan kepada penjarakan sosial lebih daripada 1 meter di tempat awam, pemakaian topeng diwajibkan ketika menggunakan pengangkutan awam bermula 1 April.
Seawal Januari, kerajaan Taiwan meningkatkan pengeluaran topeng dan peralatan pelindung diri (PPE) lain serta bekalan perubatan kritikal.
Pelan yang canggih telah dihasilkan untuk mengubati pesakit untuk menggunakan bilik tekanan negatif dengan lebih baik sebagai persediaan kepada peningkatan pesakit.
CECC memimpin usaha membendung wabak Covid-19 dengan penyelarasan yang sangat berkesan antara agensi-agensi kerajaan.
Virus Covid-19 ini mungkin dapat bermutasi dengan pantas, tetapi usaha-usaha yang dilakukan oleh Taiwan juga sangat lincah.
Sebagai tambahan kepada langkah-langkah kesihatan awam yang ketat, Taiwan juga berusaha untuk membangunkan diagnostik penjagaan dan pemeriksaan antibodi dengan harapan dapat memajukan sains serta mengenal pasti pesakit dengan lebih baik.
Industri biomed yang berkembang maju di Taiwan juga terlibat dalam membangunkan terapeutik dan vaksin, di mana Silmitasertib (CX-4945) merupakan calon yang sangat menjanjikan dan sedang diuji ketika ini.
Taiwan bukti bahawa kawalan terhadap virus yang baru muncul dapat dicapai melalui sains, teknologi, dan tadbir urus demokratik.
Ia juga membuktikan bahawa langkah-langkah autokratik yang zalim tidak diperlukan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]