Ahmad Khusairi dilantik isi jawatan Azam Baki di SPRM

Ahmad Khusairi dilantik isi jawatan Azam Baki di SPRM

SPRM turut melantik Pengarah SPRM Johor Norazlan Mohd Razali sebagai Pengarah Bahagian Siasatan yang baru.

Ahmad Khusairi Yahaya.
PETALING JAYA:
Pengurusan Tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bersetuju melantik Ahmad Khusairi Yahaya sebagai timbalan ketua pesuruhjaya (Operasi) SPRM yang baru berkuat kuasa 15 April ini.

SPRM berkata, pelantikan Ahmad Khusairi dibuat bagi menggantikan bekas penyandangnya, Azam Baki yang sebelum ini dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac lalu.

Suruhanjaya itu turut memutuskan untuk melantik Pengarah SPRM Johor Norazlan Mohd Razali sebagai Pengarah Bahagian Siasatan yang baru bagi menggantikan Ahmad Khusairi berkuat kuasa pada tarikh sama.

Norazlan Mohd Razali

Ahmad Khusairi memulakan tugasnya sebagai pegawai siasatan Badan Pencegah Rasuah pada 1992 dan pernah memegang jawatan sebagai pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan.

Malah, beliau turut diberi kepercayaan menjawat tugas pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan pengarah Bahagian Perisikan sebelum dilantik sebagai pengarah Bahagian Siasatan pada 24 Disember lalu.

Sementara itu, Norazlan pula pernah memegang jawatan pengarah Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca), ketua kakitangan Pejabat Eksekutif Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Ketua Unit Integriti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Pada awal Mac lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Azam Baki untuk mengetuai agensi anti-rasuah itu.

Pelantikan Azam itu menyusul tindakan Yang di-Pertuan Agong meluluskan permohonan Latheefa Koya memendekkan kontraknya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.