62 lelaki Myanmar ditahan sertai pesta air di luar asrama kilang

62 lelaki Myanmar ditahan sertai pesta air di luar asrama kilang

Polis berkata, 2 daripada suspek yang ditahan mengaku merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbit dan menyebarkannya di Facebook.

Tangkap layar sebuah klip video menunjukkan sekumpulan pekerja asing menari sambil menyanyi, dipercayai meraikan pesta air di perkarangan sebuah asrama pekerja kilang di Sepang.
KUALA LUMPUR:
Polis menahan 62 lelaki Myanmar yang disyaki terlibat dengan penganjuran pesta air di perkarangan sebuah asrama pekerja kilang di Sepang semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata mereka ditahan dalam serbuan kira-kira 2 petang hasil siasatan dan kerjasama pengurusan kilang.

Beliau berkata, 2 daripada suspek yang ditahan mengaku merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbit dan menyebarkannya di Facebook.

“Ada yang telah mengaku menghadiri pesta itu dan tangkapan susulan masih dijalankan bagi mengesan suspek lain yang terlibat. Dua telefon bimbit yang digunakan suspek turut dirampas,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan, Seksyen 22 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Kelmarin, sebuah klip video lebih 30 minit tular di media sosial menunjukkan sekumpulan pekerja asing menari sambil menyanyi, dipercayai meraikan pesta air yang lebih dikenali sebagai Songkran. Menurut maklumat pada rakaman itu, mereka adalah pekerja di sebuah kilang sarung tangan.

Tindakan mereka menerima kecaman orang ramai kerana melanggar perintah kawalan pergerakan ketika negara berusaha membendung penularan Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.