Sarawak gesa sambung semula penerbangan dari semenanjung

Sarawak gesa sambung semula penerbangan dari semenanjung

Penggantungan penerbangan dari semenanjung menyebabkan Sarawak hadapi masalah kekurangan makanan dan harga barang meningkat.

Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo menggantung penerbangan antara Semenanjung dan Sarawak dari 15 hingga 30 April. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Sarawak menggesa supaya penerbangan antara semenanjung dan negeri itu diteruskan semula bagi membolehkan barang penting seperti produk makanan dan topeng dapat dibawa masuk.

Menteri Pelancongan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo menggantung semua penerbangan antara Semenanjung dan negeri itu dari 15 hingga 30 April.

“Jawatankuasa pengurusan bencana negeri tidak bersetuju dengan keputusan ini kerana ia mengakibatkan barang import seperti topeng dan produk makanan yang tidak dapat sampai ke Sarawak.

“Ini akan menyebabkan negeri menghadapi masalah kekurangan makanan dan harga barang meningkat. Kerajaan persekutuan perlu menimbang semula perkara ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, kementerian pengangkutan Sarawak akan berbincang dengan Putrajaya kemungkinan untuk meneruskan kembali beberapa penerbangan terbabit.

Karim berkata, jawatankuasa pengurusan bencana negeri juga memutuskan untuk tidak membenarkan kedai gunting rambut beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) berkuatkuasa.

Sementara itu, Sarawak mencatatkan 7 kes baru Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 348. Jumlah kematian di negeri itu kekal 14.

Sejumlah 155 individu dalam siasatan (PUI) juga dilaporkan, kebanyakan mereka dari Kuching (116).

Seramai 53 pesakit pulih dan didiscaj dari hospital.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.