Penganalisis bimbang keberkesanan jarak sosial susulan benar operasi perniagaan

Penganalisis bimbang keberkesanan jarak sosial susulan benar operasi perniagaan

Walaupun pembukaan semula sektor ekonomi dapat menjana pendapatan perniagaan, namun pada masa yang sama akan menimbulkan masalah.

Sektor ekonomi tertentu dibenarkan beroperasi ketika PKP tetapi dengan syarat yang ketat seperti mengamalkan jarak sosial.
PETALING JAYA:
Seorang pakar ekonomi menzahirkan kebimbangan mengenai keberkesanan kawalan pergerakan sosial selepas kerajaan membenarkan 9 sektor ekonomi tambahan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata walaupun beliau akui pembukaan semula sektor ekonomi itu dapat menjana pendapatan perniagaan, namun pada masa yang sama akan menimbulkan masalah.

“Masalahnya adakah kawalan jarakan sosial masih berkesan selepas ini.

“Kalau tidak, bukankah kerajaan hanya menyekat pergerakan orang awam dan memberikan mereka harapan palsu tentang pengorbanan mereka mengamalkan arahan sekatan pergerakan,” katanya kepada FMT.

10 April lalu, kerajaan mengumumkan 9 sektor ekonomi tambahan dibenarkan beroperasi di bawah syarat ketat susulan lanjutan PKP sehingga 28 April ini.

Antaranya, salun dan kedai gunting rambut hanya boleh menawarkan perkhidmatan menggunting rambut, dan hanya kedai dobi perkhidmatan penuh boleh beroperasi, bukannya kedai dobi layan diri.

Bagaimanapun, semua syarikat dalam sektor tambahan itu hanya boleh memulakan perniagaan selepas mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

Barjoyai menambah, langkah kerajaan itu merupakan inisiatif yang baik dan secara efektif membuka semula sektor ekonomi untuk menjana pendapatan perniagaan dalam ekonomi.

Beliau berkata keluasan sektor yang dibuka itu dijangka akan memulihkan semula sekurang-kurangnya 1/3 ekonomi Malaysia, seperti contoh dari segi pengeluaran penggunaan awam dalam kerja kontrak besar dan penggunaan persendirian, pendapatan perniagaan dan pekerja.

“Dari segi ekonomi ini merupakan satu usaha pemulihan yang amat berkesan.

Penganalisis ekonomi, Mohd Yusof Kasim berkata kebenaran yang diberikan kepada sektor tertentu adalah untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan dan mengaktifkan aktiviti ekonomi secara terbatas dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia.

Beliau yang juga pengerusi Commact Malaysia berkata langkah itu adalah wajar.

“Kesihatan awam diutamakan tetapi aktiviti ekonomi dibenarkan secara terhad.

“Saya setuju dengan langkah kerajaan ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.