
Mohammad Sadek Ali Hussain dari Ampang, di mana kira-kira 600 keluarga pelarian tinggal, berkata, sekurang-kurangnya 4 NGO telah kehabisan bekalan makanan.
“Kami tidak mempunyai makanan atau bekalan yang mencukupi. Kami tidak pernah diambil bekerja dan kami tidak mempunyai simpanan atau pendapatan tetap. Kami berjuang untuk meneruskan hidup,” Sadek, seorang guru sukarela untuk sekolah pelarian, memberitahu FMT.
“Semuanya mahal dan banyak benda yang telah habis,” katanya.
Sadek berkata gajinya dibayar menerusi sumbangan daripada orang ramai.
Sejak PKP bermula bulan lalu, beliau membantu mengedarkan barangan makanan yang didermakan oleh individu kepada pelarian di kawasannya.
Beliau berkata, ramai etnik Rohingya yang teragak-agak untuk menjalani ujian saringan Covid-19 di hospital kerajaan, walaupun Putrajaya memberi jaminan status imigresen mereka tidak akan menimbulkan masalah.
“Mereka bimbang kerana jika mereka disyaki (dijangkiti), mereka akan dibawa untuk menjalani pengasingan. Mereka tidak mempunyai banyak wang, mereka mungkin hilang segala-galanya,” katanya.
Beliau berkata, ramai pelarian memberitahunya mereka dikenakan bayaran pendaftaran untuk pemeriksaan, yang boleh mencecah antara RM20 hingga RM40 untuk pemegang kad UNHCR, dan jumlah bayaran 2 kali ganda bagi mereka yang tidak mempunyai dokumen.
Sadek juga berkata pihak berkuasa masih belum menyerahkan bantuan seperti makanan kepada komunitinya, sementara NGO berhempas pulas untuk membantu mereka.
Terdapat kira-kira 200,000 pelarian yang memiliki dokumen di Malaysia. Kebanyakan mereka membawa dokumen perjalanan yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), tetapi tidak diiktiraf oleh kerajaan.
Sadek berkata, terdapat beberapa organisasi yang menyangka kebajikan umat Islam Rohingya diurus oleh kerajaan serta masjid tempatan dan organisasi Islam.
Beliau berkata banyak kumpulan Islam yang menganggap UNCHR sudah membantu mereka.
“Permintaan saya adalah, kepada semua ahli dalam masyarakat, di mana pun berada, sila tampil ke depan untuk membantu pelarian,” tambah Sadek.
Etnik Rohingya di negeri lain turut terkesan dengan kekurangan sumber untuk membantu mereka ketika PKP.
Kumpulan sokongan Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar (Mehrom) antara pertubuhan yang menyerahkan bungkusan makanan kepada kira-kira 1,000 keluarga Rohingya di seluruh negara.
Namun Mehrom, berkata ramai di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor masih bergelut dengan masalah itu.
“Setiap hari saya dengar banyak perkara dari negeri lain. Orang menangis, memanggil saya dan meminta bantuan,” kata presidennya Zafar Ahmad Abdul Ghani.
Beliau berterima kasih kepada agensi kerajaan dan kumpulan bebas yang berusaha sebaik mungkin untuk membantu pelarian.
“Bukan hanya kita pelarian yang berdepan situasi sukar, rakyat Malaysia sendiri juga berdepan situasi sukar.
“Kami berterima kasih kepada kerajaan Malaysia untuk apa saja sokongan yang diberikan,” tambahnya.