
Presiden MPPK, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, arahan terbaru yang dikeluarkan kerajaan itu demi kebaikan semua pihak.
“MPPK juga yakin dan percaya bahawa keputusan ini bukanlah bertujuan menekan pelajar, bahkan dibuat selepas Kementerian Pendidikan Tinggi mendapatkan pandangan dan penjelasan terperinci daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang semestinya telah menimbang tara pelbagai kemungkinan dan risiko dalam cadangan terbabit.
“Rakan-rakan pelajar perlu akur demi memastikan wabak Covid-19 dapat kita banteras, sekali gus memastikan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilonggarkan yang akan membolehkan kalian semua pulang ke pangkuan keluarga masing-masing nanti,” katanya kepada FMT.
Terdahulu hari ini, Menteri Pertahanan, Ismail Sabri berkata, kerajaan memutuskan supaya semua pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) untuk kekal berada di kampus sepanjang PKP.
Ismail berkata kerajaan melalui KPT akan memastikan kebajikan dan makan minum pelajar diutamakan.
Dalam pada itu, Amir berkata MPPK juga memohon kepada semua ibu bapa untuk memberi semangat dan sokongan moral kepada anak-anak mereka di kampus.
Beliau berkata,ibu bapa tidak perlu khuatir atau bimbang kerana segala aspek keperluan dan kebajikan pelajar sentiasa diutamakan oleh pihak universiti.
“Sebagai pelajar kita perlu berkorban buat masa ini kerana ia adalah untuk masa depan negara yang lebih baik dan terjaga.
“MPPK yakin golongan pelajar adalah generasi yang tabah, sentiasa bersemangat dan rela berkorban demi negara serta bersedia membantu negara dengan akur dan patuh akan PKP yang sedang berjalan sehingga kini agar rangkaian wabak Covid-19 dapat diputuskan,” katanya.