Lebih 1,000 petugas bersara kembali berkhidmat bantu lawan Covid-19

Lebih 1,000 petugas bersara kembali berkhidmat bantu lawan Covid-19

Ia termasuk 65 pakar dari hospital swasta, kata KP kesihatan.

Dr Noor Hisham Abdullah.
PUTRAJAYA:
Lebih 1,000 petugas kesihatan yang sudah bersara, sama ada di sektor awam dan swasta, kembali berkhidmat bagi membantu usaha memerangi pandemik Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mereka termasuk 65 pakar dari hospital swasta dan lebih 1,000 jururawat dan pegawai perubatan.

“Kami ingin mereka yang berpengalaman bekerja di unit rawatan rapi (ICU) dan wad perubatan dan kami akan tempatkan mereka di kawasan tertentu.

“Pengamal perubatan am dan pegawai perubatan akan ditempatkan di klinik atau di kawasan bukan di tempat rawatan Covid-19,” katanya pada sidang media hari ini.

Hisham menyifatkan pihaknya kini lebih “fleksibel” dalam menguruskan petugas-petugas barisan hadapan dalam usaha menangani pandemik tersebut yang sudah pun mencecah 44,817 kes setakat ini.

Ujarnya lagi, Kementerian Kesihatan turut menyediakan kontrak jangka pendek selama 6 bulan kepada mereka, termasuk pakar daripada hospital swasta, untuk menguruskan pesakit Covid-19 di wad dan ICU.

Dalam pada itu, beliau risau tentang bekalan darah di hospital-hospital yang dijangka semakin berkurang menjelang Ramadan.

Atas sebab itu, beliau berkata penderma yang berhasrat menderma darah diminta tampil ke hospital dan klinik kesihatan yang berdekatan.

Malah, Pusat Darah Negara turut menyediakan perkhidmatan kutipan darah di rumah.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan mereka yang ingin menderma darah perlu menjalani beberapa ujian saringan seperti jangkitan Covid-19 dan penyakit berjangkit yang lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.