
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sebanyak 134 kes jangkitan baru dilaporkan berbanding 153 semalam, menjadikan jumlah mangsa 4,817 orang sehingga kini.
Dalam pada itu, sebanyak 168 kes jangkitan Covid-19 pulih dan dibenarkan discaj menjadikan bilangan pesakit yang sembuh 2,276 orang sehingga kini.
Beliau berkata, kes kematian ke-77 (kes 2,797) melibatkan seorang lelaki warganegara berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung.
Mangsa merupakan kontak rapat kes indeks ke-703 dan tidak menyertai himpunan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling.
Dalam perkembangan lain, Noor Hisham berkata, pihaknya mengenal pasti 2 subkluster jangkitan Covid-19 di Kuantan, Pahang.
Jelasnya, kluster Individu Dalam Siasatan (PUI) di daerah itu melibatkan golongan pesakit dan beberapa petugas kesihatan dari sebuah pusat perubatan di Kuantan.
Sehingga hari ini, katanya, 14 orang sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTTA), Pahang, dengan 3 orang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan seorang pesakit terkorban.
Sementara itu, beliau berkata, negara dilihat berjaya memerangi wabak itu berdasarkan bilangan individu yang dijangkiti Covid-19 lebih rendah berbanding ramalan yang dibuat oleh JP Morgan, iaitu 6,300 kes menjelang 14 April.
“Kami lakukannya dengan agak baik.
“Esok kita akan tahu (ramalan JP Morgan), tetapi harapnya kes positif kurang daripada 5,000,” katanya.
Terdahulu, Noor Hisham dilaporkan berkata, negara sudah melepasi tempoh kemuncak kes positif Covid-19 pada minggu lepas walaupun beberapa pihak meramalkan ia akan berlaku pada pertengahan bulan ini.