Polis cedera dipukul warga Indonesia bersiar-siar ketika PKP

Polis cedera dipukul warga Indonesia bersiar-siar ketika PKP

Polis berkata, suspek menumbuk 2 hingga 3 kali dan terkena bahagian kening mata sebelah kiri mangsa yang sedang membuat sekatan jalan di Presint 14.

Polis berkata, siasatan awal mendapati suspek keluar rumah hanya untuk berjalan-jalan dan tidak dapat menyatakan lokasi ditujunya ketika PKP.
PUTRAJAYA:
Seorang anggota polis cedera dipercayai dipukul seorang warga Indonesia ketika membuat sekatan jalan raya bagi pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) di Presint 14, hari ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Rosly Hassan berkata kejadian berlaku ketika anggota polis itu memanggil suspek yang berjalan kaki melalui sekatan jalan raya.

“Semasa suspek mendekati pegawai polis itu, tiba-tiba suspek terus menyerang dengan menumbuk sebanyak 2 ke 3 kali dan terkena bahagian kening mata sebelah kiri anggota,” katanya kepada media di sini.

Beliau berkata, anggota polis terpaksa menggunakan kekerasan minimum ketika hendak menangkap suspek yang melawan sehingga berlaku pergelutan.

“Suspek mengalami sedikit kecederaan, iaitu calar pada bahagian muka dan pemeriksaan ke atas suspek didapati gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah.”

Rosly berkata, siasatan awal juga mendapati suspek keluar rumah hanya untuk berjalan-jalan dan tidak dapat menyatakan lokasi ditujunya.

Katanya, suspek ditahan kerana mendatangkan kecederaan kepada anggota, menghalang penjawat awam menjalankan tugas, melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan untuk siasatan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.