Kerajaan digesa lanjut kontrak pegawai farmasi untuk perangi Covid-19

Kerajaan digesa lanjut kontrak pegawai farmasi untuk perangi Covid-19

Persatuan Farmasi Malaysia berkata, kumpulan terawal pegawai farmasi KKM dijangka menamatkan kontrak pada 16 April ini.

Pegawai farmasi memainkan peranan penting dalam mengurus keperluan pesakit Covid-19.
PETALING JAYA:
Persatuan Farmasi Malaysia meminta kerajaan melanjutkan tempoh kontrak pegawai farmasi yang dijangka tamat dalam tempoh usaha menentang pandemik Covid-19 sedang berjalan di negara ini.

Presidennya Amrahi Buang berkata, kira-kira 3,500 pegawai farmasi akan meninggalkan Kementerian Kesihatan (KKM), hospital dan unit farmasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) antara bulan April, Julai dan Disember tahun ini jika kontrak mereka tidak dilanjutkan.

Malah katanya, kumpulan terawal pegawai terbabit dijangka menamatkan kontrak dan meninggalkan perkhidmatan pada 16 April ini.

Beliau berkata, pegawai farmasi memainkan peranan penting dalam mengurus keperluan pesakit Covid-19.

“Mereka mengurus bekalan ubat, memberi kaunseling dan nasihat dari wad ke unit farmasi.

“Farmasi menjadi kunci merangkumi rangkaian lengkap perkhidmatan farmaseutikal yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan dengan objektif akhir untuk memastikan kecekapan, ketepatan dan tepat masa demi kepentingan pesakit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, memandangkan wujud keperluan mendesak bagi pekerja barisan depan untuk memerangi wabak itu, maka lanjutan tempoh kontrak akan membolehkan kerajaan memanfaatkan pengalaman dan kemahiran pegawai berkenaan.

Beliau berkata, pegawai farmasi terbabit sudah pasti tidak sabar untuk berkhidmat tanpa perlu lagi menyesuaikan diri dengan cara kerja KKM.

Katanya, sehingga kini terdapat kira-kira 6,000 ahli farmasi yang sudah menandatangani petisyen untuk melanjutkan kontrak pegawai farmasi berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.