41 pelajar tahfiz di Sri Petaling dijangkiti Covid-19 sembuh

41 pelajar tahfiz di Sri Petaling dijangkiti Covid-19 sembuh

Kumpulan pelajar itu ialah sebahagian pesakit Covid-19 daripada kluster tabligh Masjid Sri Petaling.

Sebahagian pelajar tahfiz Madrasah Miftahul Ulum di Sri Petaling bergambar dengan kakitangan HCTM selepas disahkan sembuh sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seramai 41 pelajar tahfiz Madrasah Miftahul Ulum di Sri Petaling yang dijangkiti Covid-19, sudah sembuh dan dibenarkan keluar dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (dahulu dikenali sebagai HUKM) di Cheras.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kumpulan pelajar itu ialah sebahagian pesakit Covid-19 daripada kluster tabligh Masjid Sri Petaling yang sebelum ini dikuarantin di Institut Sosial Malaysia sebelum dimasukkan ke HCTM pada 2 April lalu.

Katanya, semua pelajar lelaki itu berumur 14 hingga 29 tahun.

“Mereka terdedah kepada Covid-19 sama ada ketika menghadiri perhimpunan di Masjid Sri Petaling pada awal Mac 2020 dan juga daripada persekitaran masjid selepas perhimpunan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau berkata, semua pelajar itu tidak mengalami sebarang simptom dan 2 ujian saringan awal pada pertengahan Mac serta 24 Mac lalu adalah negatif, tetapi keputusan ujian ke-3 yang diambil pada 30 Mac lalu menunjukkan mereka positif Covid-19.

“Pelajar itu seterusnya dimasukkan ke HCTM bagi rawatan lanjut. Rawatan di HCTM berjalan lancar dan hanya seorang daripada mereka mengalami simpton batuk pada 5 April lalu dan diberikan rawatan Hydrochloroquine.

“Kesemua mereka telah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan discaj hari ini.”

Hisham berkata, saringan untuk diagnosis dan rawatan awal sangat penting bagi memastikan pesakit positif Covid-19 berpeluang sembuh sepenuhnya.

Katanya, kumpulan pelajar itu masih muda, oleh itu proses penyembuhan dan prognosis mereka lebih baik berbanding pesakit berusia atau yang menghidap penyakit kronik lain seperti tekanan darah tinggi atau kencing manis.

“Bagaimanapun, mendapatkan rawatan di peringkat awal tahap 1 sehingga 3 amat penting.”

Beliau berkata, proses kuarantin awal dan isolasi di wad amat penting kerana 41 pelajar itu tidak mengalami sebarang simptom, tetapi mampu menyebarkan virus Covid-19 kepada masyarakat sekeliling tanpa menyedari mereka sudah dijangkiti.

“Justeru, keperluan kepada proses pengesanan, kuarantin, isolasi dan rawatan awal merupakan langkah tepat membantu proses penyembuhan, menyekat penyebaran dan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, mengambil contoh pengurusan semua 41 pelajar tahfiz ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.