Pakar ekonomi sambut baik langkah permudah aktiviti perniagaan

Pakar ekonomi sambut baik langkah permudah aktiviti perniagaan

Menteri di-Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed dilaporkan berkata sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi sedang meneliti idea bagi mempermudahkan aktiviti perniagaan.

Pakar ekonomi berkata, kerajaan perlu mengurangkan penglibatannya dalam perniagaan dan kerenah birokrasi serta mempermudah sistem cukai.
PETALING JAYA:
Seorang pakar ekonomi menyambut baik kenyataan menteri yang menggambarkan keazaman kerajaan untuk melakukan pembaharuan bagi mempermudahkan urusan perniagaan di Malaysia.

Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway berkata, beliau gembira dengan kenyataan terbaru Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed mengenai “peluang mengadakan pembaharuan teras” yang akan dibentangkan dalam rancangan pemulihan ekonomi pasca krisis Covid-19.

Beliau merujuk laporan yang memetik Mustapa berkata bahawa sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi sedang meneliti idea bagi mempermudahkan aktiviti perniagaan.

Yeah berkata, pembaharuan yang dirancang harus melibatkan usaha mengurangkan penglibatan kerajaan dalam perniagaan dan memperelok iklim perniagaan dengan mengurangkan kerenah birokrasi serta mempermudah proses mengisi boring taksiran cukai.

Beliau berkata, kerajaan harus mendahulukan usaha membantu perniagaan pulih daripada krisis koronavirus dan bertindak balas segera terhadap peluang baru.

Beliau bercakap mengenai pengurangan peranan kerajaan dalam perniagaan sebagai keperluan asasi pembaharuan.

“Di mana mungkin, perana syarikat berkaitan kerajaan harus diambil alih oleh sektor swasta. Satu contoh ialah Penerbangan Malaysia. Ia rugi sejak sekian lama. Ia patut diswastakan,” katanya kepada FMT.

Katanya, satu lagi langkah penting, tetapi sukar ialah mencari jalan bagi memperkukuh kemampanan pekerja bukan formal dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Beliau berkata, kumpulan pekerja dan perusahaan tersebut tidak mempunyai simpanan yang mencukupi bagi menghadapi tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) tanpa bantuan kerajaan.

Yeah mencadangkan supaya diwujudkan satu skim seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja bukan formal.

Sama seperti PKS katanya, kedudukan mereka (kumpulan pekerja bukan formal) perlu ditingkatkan dalam rantaian nilai.

Seorang lagi pakar ekonomi, Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, kerajaan perlu mengurangkan jumlah pekerja upah harian, sebaliknya menggalakkan mereka menjadi pengusaha.

“Banyak pekerjaan tidak begitu stabil susulan gangguan teknologi, dan dengan mengambil kira inflasi, kita dapat lihat bahawa paras gaji tidak naik sejak 2010,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu melaksanakan program latihan semula secara meluas badi meningkatkan produktiviti, selain membiayainya daripada dana seperti KWSP tetapi melibatkan lebih ramai orang.

“Terdapat lebih 6 juta pencarum aktif KWSP,” katanya.

“Skim yang melibatkan lebih ramai orang seharusnya dapat menjana lebih banyak dana.”

Pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi Lee Heng Guie mencadangkan pengenalan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bagi memperluas asas percukaian dan menyekat ekonomi gelap.

Beliau juga berkata, kejatuhan harga minyak menawarkan peluang untuk mengkaji semula subsidi sedia ada.

“Sumber ini boleh disalurkan semula kepada bantuan bersasar dan subsidi berdasarkan keperluan dan pendapatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.