
Presiden MTUC, Abdul Halim Mansor berkata, industri yang dibenarkan beroperasi dalam fasa 3 PKP hanya berkait dengan kepentingan kerajaan seperti industri aeroangkasa, automobil, pembinaan, selain perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“MTUC khuatir industri pembuatan besar berkemungkinan mengambil tindakan mengurangkan tenaga kerja dengan menamatkan perkhidmatan 50% pekerja kerana tidak mahu menanggung kos kerugian yang lebih tinggi.
“Sebagai presiden MTUC dan satu satunya badan mewakili pekerja Malaysia, saya memohon supaya kerajaan menimbangkan keputusannya dengan membenarkan semua industri beroperasi dengan syarat dan garis panduan yang ditetapkan,” katanya kepada FMT.

Semalam, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali berkata, kedai perkakasan, elektronik dan gunting rambut adalah antara 9 sektor ekonomi tambahan yang dibenarkan beroperasi ketika PKP di bawah syarat ketat.
Ini menyusul pengumuman Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin bahawa sektor terpilih dibenarkan beroperasi secara berfasa dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan ketat.
Azmin berkata, sektor yang dibenarkan beroperasi itu sesetengahnya hanya boleh menawarkan perkhidmatan terhad.
Dalam pada itu, Halim berkata MTUC juga melihat kebenaran itu hanya membabitkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Beliau berkata, MTUC meminta kerajaan untuk juga merujuk kepada Kementerian Sumber Manusia dan Menteri Kewangan untuk melihat dari sudut kerjasama ekonomi antara kerajaan, majikan dan pekerja.
“Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia terlibat secara langsung dengan industri dan memahami keperluan industri dari sudut ekonomi majikan dan pekerja.
“MTUC percaya dengan kerjasama sebagai satu pasukan untuk menghadapi Covid-19 dan semua pihak boleh menjana ekonomi negara yang mampan bagi menyokong usaha memerangi pandemik Covid-19,” katanya.