
PETALING JAYA: Melaka Tengah menjadi kawasan ke-26 yang disenaraikan sebagai zon merah Covid-19, selepas lebih 40 kes positif direkodkan.
Infografik Kementerian Kesihatan menunjukkan Melaka Tengah mencatatkan 44 kes positif virus itu.
“Terdapat penambahan zon merah menjadi 26 mengikut statistik terbaru sehingga 12 malam tadi.
“Daerah zon merah yang terbaru ialah Melaka Tengah. Terus duduk di rumah, amalkan penjarakan sosial dan tingkatkan penjagaan kebersihan diri,” tulis KKM di Twitternya hari ini.
Zon merah lain di seluruh negara ialah:
- Petaling, Hulu Langat, Gombak, Klang, Sepang, dan Hulu Selangor (Selangor)
- Cheras, Kepong, Lembah Pantai dan Titiwangsa (Kuala Lumpur)
- Batu Pahat, Johor Bahru dan Kluang (Johor)
- Hilir Perak dan Kinta (Perak)
- Seremban dan Rembau (Negeri Sembilan)
- Kota Bharu (Kelantan)
- Kuantan dan Jerantut (Pahang)
- Jasin dan Melaka Tengah (Melaka)
- Putrajaya (Wilayah Persekutuan)
- Kuching dan Kota Samarahan (Sarawak)
- Tawau (Sabah)
Setakat semalam, 70 kematian dan 4,346 kes positif Covid-19 dicatatkan di seluruh negara.
