
Presiden Parti Progresif Sabah itu berkata, susulan lanjutan tempoh PKP sehingga 28 April yang diumumkan semalam, kemelesetan ekonomi akan berterusan sehingga penghujung tahun ini.
Justeru katanya, perlu ada ruang bagi pelonggaran PKP “dalam kerangka selamat keperluan kesihatan awam”.
Dalam satu kenyataan, Yong berkata, Sabah harus mengkaji bagaimana negara lain membenarkan kerja terhad diteruskan di tapak pembinaan dan kilang untuk tujuan penyelenggaraan, penerimaan dan kawalan bahan serta sokongan pentadbiran.
“Tidak ada kewajaran kesihatan untuk menguatkuasakan sekatan menyeluruh ke atas pekerjaan yang disifatkan “bukan keperluan” yang boleh diteruskan di dalam premis sesuatu perniagaan,” katanya.
Yong berkata, walaupun kerajaan negeri membenarkan kilang dan ladang minyak sawit tertentu dibuka dengan syarat, namun pihak berkuasa mengambil masa lebih 10 hari untuk memaklumkan bahawa mereka mahu memeriksa lebih banyak fakta dan keadaan di lapangan.
“Saya menggesa kerajaan supaya berpandangan jauh tentang kemungkinan yang bakal berlaku. Sewaktu kita kini memasuki minggu ke-4 PKP, kerajaan sepatutnya sudah sedia maklum tentang fakta dan keadaan di lapangan,” katanya.
Yong berkata, kerajaan negeri harus mengambil maklum laporan Jabatan Perangkaan Negara semalam bahawa 81.9% individu bekerja sendiri, 71.3% pekerja dan 65.1% pekerja sektor swasta tidak bersedia dari segi kewangan untuk menghadapi lanjutan tempoh PKP.
Bagi pekerja bergaji harian dan perniagaan keluarga katanya, keadaan mungkin lebih buruk daripada yang dilaporkan.
“Oleh sebab itu kerajaan Sabah harus menimbangkan pelonggaran PKP dengan membenarkan sesetengah aktiviti ekonomi dimulakan semula secara berperingkat berpandukan protokol kesihatan dan keselamatan yang ketat,” katanya.