Tentera nafi pakai helmet elak air kencing warga asing di Selangor Mansion

Tentera nafi pakai helmet elak air kencing warga asing di Selangor Mansion

ATM tidak pernah mengarahkan anggotanya yang berkawal di Selangor Mansion berhelmet untuk mengelak air kencing warga asing dari tingkat atas bangunan itu.

Anggota tentera memakai helmet di semua kawasan yang dikenakan PKPD.
KUALA LUMPUR:
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan dakwaan tersebar di media sosial yang anggotanya bertugas di bangunan Selangor Mansion, di sini memakai topi keledar untuk mengelakkan air kencing warga asing.

Panglima ATM, Jeneral Affendi Buang dipetik Bernama berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan arahan untuk anggotanya berbuat demikian.

“Tidak ada perkara sedemikian (anggota tentera memakai helmet elak air kencing warga asing ketika bertugas di bangunan Selangor Mansion).

“Pihak ATM hanya memakai helmet untuk tempat yang diisytiharkan sebagai kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), manakala di tempat lain seperti biasa,” katanya kepada Bernama hari ini.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan warga asing di 3 bangunan kediaman di ibu negara yang dikenakan PKPD didakwa melempar barangan dari tingkat atas bangunan, termasuk beg plastik berisi air kencing sebagai tanda protes.

Sumber dipetik akhbar itu berkata, sikap biadab penghuni disyaki warga asing itu ketara sejak peringkat awal PKPD dipercayai kerana tidak berpuas hati dengan perintah terbabit dan mungkin masalah bekalan makanan.

“Bukan saja-saja askar pakai helmet ketika berkawal di bangunan-bangunan kediaman itu. Jika kita lihat ketika kawalan sekatan jalan raya, askar tak pakai helmet pun, hanya pakai beret.

“Pakai helmet sebab nak elak daripada kena benda yang dibaling dari atas. Bawang putih pun dibaling dari dalam rumah. Jadi kita tak dapat kenal pasti dari unit mana,” kata sumber itu sambil menambah keadaan kini semakin terkawal kerana sikap tegas petugas keselamatan dan bantuan makanan diberikan kepada penghuni asing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.