
Penyelaras Pusat Keprihatinan Orang Asli (COAC) Colin Nicholas berkata, kerajaan tidak menyedari bekalan khusus yang diperlukan oleh keluarga yang berbeza, selain menambah bahawa pakej bantuan yang diberikan kini bersifat seragam.
Beliau memberitahu FMT bahawa ia adalah satu kesilapan berikutan terdapat perbezaan saiz dak keperluan keluarga di setiap kampung, menyebabkan keperluan segelintir pihak tidak dipenuhi.
“Sesetengah komuniti tidak memerlukan perkara tertentu, ada yang mahukan susu tepung untuk bayi mereka. Sesetengah keluarga hanya 2 orang, sementara ada yang mempunyai 11 orang,” katanya.

Nicholas menambah bahawa terdapat 1 contoh di Ulu Tual, berhampiran Temerloh, Pahang, di mana 65 bungkusan makanan untuk 65 keluarga telah dihantar, walaupun sebenarnya ada 136 keluarga yang tinggal di kampung itu.
“Terdapat juga ramai Orang Asli yang telah pergi ke dalam hutan.
“Mereka (kerajaan) tidak mungkin telah hubungi mereka. Jadi, bagaimana mereka boleh mengatakan bahawa mereka telah memberikan bantuan kepada semua orang?”
Ini berlaku selepas Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob semalam menolak dakwaan bahawa Orang Asli diketepikan dalam pembahagian bantuan makanan.
Dalam sidang media hariannya, Ismail berkata, edaran itu dimulakan sejak bermulanya PKP di bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), dengan jumlah bekalan bernilai RM5 juta diedarkan kepada masyarakat itu.
Bagaimanapun, ketua pengarah Jakoa, Juli Edo dilaporkan berkata, jabatan itu menghadapi masalah untuk mengedarkannya berikutan kekurangan tenaga kerja dan sumber untuk menyerahkan bantuan itu.
Nicholas berkata, kenyataan bercanggah itu menunjukkan bahawa Putrajaya tidak menyedari dan tidak berhubung dengan realiti keadaan masyarakat berkenaan, sambil menambah jelas bahawa tidak semua keluarga memperoleh bantuan itu.
“Malah, ketua pengarah sendiri mengatakan mereka tidak dapat memenuhinya. Siapa yang kita hendak percaya? Seorang menteri yang hanya membuat kenyataan atau pegawai kerajaan Orang Asli yang tahu apa yang berlaku di lapangan?”
Beliau berkata Putrajaya harus terlebih dahulu mengenal pasti masalah itu, kemudian berunding dengan NGO dan pertubuhan yang berkaitan untuk bekerjasama dan menghulurkan bantuan.
Beliau berkata, ia juga penting bagi mengelak sebarang pertindihan dalam usaha mengedarkan bantuan.
Langkah sokongan untuk Orang Asli sering tidak teratur dan tidak selaras, kata Nicholas, menyebabkan kedua-duanya bertindih dan menyebabkan kekurangan dalam bantuan di kampung.
Nicholas juga menyeru Jakoa supaya menyediakan senarai terkini mengenai kampung yang telah dicapai untuk mengelak pertindihan, sambil menambah bahawa COAC mempunyai senarai di laman webnya.