
Sejak Covid-19 melanda negara isu kekurangan kelengkapan perlindungan diri (PPE) yang diperlukan oleh petugas kesihatan di hospital dan fasiliti di semua hospital menjadi isu utama.
Banyak pihak telah menghulurkan sumbangan untuk memenuhi keperluan para frontliners kerana mereka perlu menggunakannya untuk merawat pesakit Covid-19.
Seperti diketahui umum, sebelum ini pereka fesyen terkenal, Radzuan Radziwill dan banduan di beberapa penjara turut berganding bahu menghasilkan PPE.
Namun usaha murni itu tidak cukup untuk disalurkan kepada semua petugas kesihatan yang berkhidmat di seluruh negara.
Dan kali ini penghuni Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP) di Kajang, Selangor pula bergotong royong menyediakan kelengkapan itu.
Saiful Nang yang merupakan pengasas bersama RPWP berterima kasih atas perhatian rakyat negara ini yang memandang kerja tangan yang dihasilkan oleh anak-anak yatim dan asnaf tersebut.

Menerusi posting Facebook miliknya, minggu lalu mereka menghasil dan mengedarkan 17,000 “face shield” dan kali ini kain fabrik sepanjang 52km akan dijahit tanpa henti siang dan malam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di rumah anak yatim dan asnaf RPWP.
Katanya semua penghuni di rumah itu akan mengorbankan rehat dan tidur demi memenuhi keperluan petugas barisan hadapan yang ketika ini lebih penat memberikan rawatan dengan penuh dedikasi melawan Covid-19.
“Kami cuma terpaksa korbankan rehat dan tidur sahaja, tapi frontliner kita korbankan hidup dan nyawa mereka. Memang penat, tapi sikit sahaja nak dibanding dengan frontliner yang ada terpaksa sarung plastik sampah untuk PPE… kami sedih.”
Katanya ketika ini senarai penerima PPE juga sudah penuh dalam tempoh kurang sehari biarpun kain-kain itu masih belum selesai dipotong.
Menurutnya, tak sampai sehari kain dipotong senarai nama penerima sudah penuh dan Johor, Perak, Sabah dan Sarawak masih banyak yang memerlukan lagi.

“Sungai Buloh sahaja perlu sehingga 7,000 set PPE sehari. Anak-anak sedih juga, ingatkan 22,000 set isolation gown dan tudung itu cukup, rupanya masih jauh daripada mencukupi.
“Bagaimana kita biarkan perwira kita bertempur tanpa pakaian perang?”
Saiful turut meminta orang ramai memberi sokongan buat Projek Pelangi PPE menerusi sumbangan ke www.projekpelangi.com bagi menyediakan kelengkapan pakaian para frontliners.
“Mari kita sokong projek ini dari rumah kita sendiri, dengan apa yang kita ada. Banyak beri banyak, sikit beri sedikit. Tapi, kita sama-sama rasa, memberi untuk negara,” katanya.
Saiful Nang turut berkongsi video berdurasi 2 minit 55 saat di Facebook yang memaparkan usaha gigih warga RPWP dalam menyediakan PPE.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]