
Menurut satu kenyataan hari ini, beliau berkata Persatuan Peminjam Wang pula bersetuju mengecualikan caj kelewatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Zuraida berkata perkara itu dipersetujui selepas perbincangan dengan ketiga-tiga persatuan susulan pengumuman langkah tambahan bagi pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat oleh pada 6 April.
Dalam pengumuman itu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyeru agar organisasi pemberi pinjam wang berdaftar di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, yang menyediakan kemudahan kredit, memberi moratorium ke atas bayaran ansuran PKS selama 6 bulan bermula April 2020 seperti yang dilakukan pihak bank.
“Syarikat Kredit Komuniti juga adalah diingatkan supaya tidak mengenakan caj faedah melebihi yang ditetapkan dalam Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) iaitu sebanyak 12% bagi pinjaman bercagar dan 18% bagi pinjaman tidak bercagar kepada peminjam sepanjang tempoh PKP,” katanya.
Zuraida mengumumkan perkara itu selepas sidang media harian oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob setelah selesai Mesyuarat Khas Menteri-Menteri berkaitan pelaksanaan PKP di sini.
Beliau berkata kerajaan juga bersetuju agar premis syarikat Kredit Komuniti dan Pemegang Pajak Gadai dibenarkan beroperasi selama 2 hari seminggu.
Katanya tempoh masa operasi adalah dihadkan kepada 9 pagi hingga 2 petang bagi membolehkan pengusaha PKS melakukan urusan masing-masing.
Zuraida berkata dalam tempoh PKP ini, pihaknya menerima banyak pertanyaan daripada orang awam mengenai perkhidmatan Kredit Komuniti dan Pemegang Pajak Gadai melalui talian hotline KPKT.
Beliau berkata pihak syarikat perlu mematuhi arahan dan peraturan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) termasuk mengamalkan jarak sosial sekurang-kurangnya semeter, memakai penutup hidung dan mulut 3 lapis dan menyediakan cecair pembasmi kuman kepada pelanggan.
Mereka juga harus melakukan proses nyahkuman secara kerap dalam premis masing-masing, katanya.
Orang awam dan syarikat PKS yang terlibat juga boleh mendapatkan maklumat mengenai perkara ini dan juga perkhidmatan KPKT yang lain di talian hotline KPKT iaitu 03-8891 3975.