
Mengulas seruan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Pengarah Eksekutif Shamsuddin Bardan memberi amaran tentang “implikasi serius” ke atas ekonomi jika Putrajaya melaksanakan cadangan itu.
Ia boleh mensia-siakan usaha menarik pelaburan, katanya kepada FMT.
Ia juga bertentangan dengan Akta Perhubungan Perusahaan, tambahnya, mengatakan undang-undang 1967 untuk mengiktiraf hak majikan untuk menamatkan khidmat pekerja atas sebab pekerja lebihan atau penyusunan semula perniagaan.
Setiausaha Agung MTUC, J Solomon semalan mencadangkan kerajaan memperkenalkan peraturan kecemasan yang menjadikan pemberhentian pekerja menyalahi undang-undang dalam tempoh tertentu.
Solomon berkata Putrajaya baru-baru ini mengumumkan pakej subsidi upah yang gagal melindungi 30% hingga 40% pekerja di perusahaan kecil dan sederhana. Mereka yang berpendapatan RM4,000 dan RM8,000 sebulan bergantung pada belas kasihan majikan, tambahnya.
Shamsuddin berkata tiada siapa sanggup melabur jika perniagaan tidak dibenarkan menyesuaikan saiz tenaga kerja mengikut keperluan.
“Menjadikan pemberhentian pekerja menyalahi undang-undang tidak adil pada majikan, walaupun ia terhad kepada semasa tempoh perintah kawalan pergerakan dan kesannya,” katanya.
“Tiada siapa pun patut dipaksa berniaga bertentangan dengan kehendaknya,” katanya.
Shamsuddin juga berkata majikan kebiasaannya akan cuba langkah pengurangan kos lain sebelum memberhentikan pekerja.
Sebab itu, tambahnya, penting untuk membenarkan majikan dan pekerja membincangkan cadangan seperti cuti tanpa gaji dan memendekkan masa bekerja.
“Pemberhentian pekerja bukan kerja mudah,” katanya. “Kebanyakan majikan akan melakukan pemberhentian pekerja sebagai langkah terakhir. Melepaskan kakitangan yang terlatih merugikan.”