
Beliau berkata, keputusan itu dibuat bulan lalu.
Surat dari Kementerian Kewangan Sabah memaklumkan pelaksanaan cukai baru itu diagihkan kepada syarikat minyak mulai 1 April lalu.
Shafie berkata, perkara itu pernah dibincangkan dengan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dalam rundingan mengenai kenaikan royalti minyak sebanyak 20%.
“Tetapi, beliau (Mahathir) meminta saya menunggu seketika kerana kekangan kewangan yang turut menjejaskan Petronas,” katanya menjelaskan kenapa kerajaan negeri tidak melaksanakan cukai 5% lebih awal.
Shafie berkata, beliau mendapat respons positif daripada semua syarikat minyak yang beroperasi di Sabah ketika membincangkan pelaksanaan cukai jualan itu.
Katanya, syarikat minyak mahu kerajaan negeri jelas mengenai perkara itu supaya mereka boleh membuat perancangan masing-masing.
“Syarikat minyak itu mahu keputusan jelas. Mereka tidak mahu sebarang pusingan U berhubung perkara sedemikian,” katanya ketika meninjau operasi sekatan di Jalan Kepayan sempena perintah kawalan pergerakan.
Sarawak melaksanakan 5% cukai jualan ke atas produk petroleum mulai 1 Jan 2019.
Pada 13 Mac lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan Sabah dan Sarawak mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk melaksanakan cukai jualan ke atas produk petroleum di negeri masing-masing.