
Zuwati Hasim dari Universiti Malaya berkata guru melakukan yang terbaik untuk menyesuaikan diri semasa krisis, dan berkongsi bahan pembelajaran dengan murid dan ibu bapa menggunakan pelbagai platform atas talian dan luar talian.
“Mereka yang mengajar kelas peperiksaan (UPSR, PT3, SPM) amat tertekan,” kata Zuwati kepada FMT.
Beliau berkata kalendar akademik sepatutnya berjalan seperti biasa kerana guru masih dapat mengekalkan sesi pembelajaran dengan murid mereka.
Bagaimanapun, guru tidak sepatutnya menggalas tanggungjawab itu sendirian, katanya sambil menambah semua pihak yang terlibat patut bekerjasama memastikan kejayaan “home-schooling” ketika tempoh krisis Covid-19.
Pembelajaran atas talian sukar untuk murid dan guru, katanya.
Fatin Amirah, guru Sekolah Rendah Antarabangsa Tenby, berkata tidak ada cuti walaupun sekolah ditutup.
“Kami bekerja dari rumah ketika krisis ini, berusaha sebaik mungkin bagi memastikan pembelajaran dapat dijalankan di mana saja. Pembelajaran dijalankan seperti biasa sejak hari pertama PKP, tetapi secara lebih fleksibel,” kata Fatin.
Fatin juga berkata guru-guru saling membantu antara satu sama lain dari semasa ke semasa. “Kami berkongsi amalan dan sumber yang baik agar kami dapat menyampaikan pengalaman pembelajaran yang luar biasa walaupun dalam keadaan ini.”
Beliau berkata walaupun akses internet menjadi cabaran, guru juga mencari alternatif lain untuk mengatasi jurang dalam pembelajaran. “Kami menghantar e-mel dan berbincang dengan ibu bapa mencari jalan tengah untuk pembelajaran.”