Penasihat khas PM seru rakyat sedia hadapi norma baru pasca PKP

Penasihat khas PM seru rakyat sedia hadapi norma baru pasca PKP

PKP dapat mendidik rakyat lebih peka dan memahami masalah kesihatan yang memberi kesan kepada diri, keluarga dan masyarakat.

PKP dapat mendidik rakyat yang pada awalnya tidak memberi perhatian mengenai bagaimana wabak Covid-19 tersebar.
PETALING JAYA:
Rakyat diseru bersedia menghadapi norma baru dalam kehidupan seharian mereka selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat pada 14 April depan,

Penasihat Khas perdana menteri mengenai kesihatan awam Dr Jemilah Mahmood berkata, PKP yang dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dapat mendidik rakyat lebih peka dan memahami masalah kesihatan yang memberi kesan kepada diri, keluarga dan masyarakat.

“Bagi saya sendiri, pandemik seperti ini memang dijangka akan berlaku, cumanya kita tidak tahu bila dan di mana ia akan berlaku.

“Ini juga adalah satu pelajaran yang besar bagi kita semua. Kita mesti bersedia meningkatkan kesiapsiagaan sebagai masyarakat.

“Pandemik ini sangat menggugat perilaku seharian dan sistem budaya kita. Misalnya, kita sebagai rakyat Malaysia suka bersalaman, suka mengunjungi antara satu sama lain, jadi selepas PKP dihentikan kita tidak boleh balik ke cara seperti biasa lagi.

“Kita harus selepas ini, dalam tempoh 6 hingga 9 bulan, harus terus laksanakan penjarakkan sosial, kurangkan tabiat keluar bertemu orang ramai, ia akan ambil masa untuk virus ini hilang terus dalam negara,” katanya dalam siaran langsung disiarkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, hari ni.

Jemilah berkata, PKP dapat mendidik rakyat yang pada awalnya mungkin tidak terlalu memberi perhatian dan tidak peka mengenai bagaimana wabak seperti Covid-19 ini tersebar.

“Kalau tahun ini mungkin raya kita kurang meriah, kurang sikit bersalaman. Namun kita boleh lihat dari cara positif contohnya di bulan Ramadan, kita lebih merendah diri, lebih masa untuk muhasabah diri sendiri dan mungkin ini satu teguran buat kita,” katanya.

Ketika ditanya Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang bertindak sebagai moderator mengenai bagaimana penjarakan sosial ini boleh dilaksanakan di sekolah dan tempat kerja, Jemilah berkata sudah tiba masanya kemudahan di sekolah dipertingkatkan.

“Kita memang tahu ada perbincangan tentang macam mana hendak susun semula kelas, mungkin kena pecahkan satu kelas menjadi 2 kelas pula. Kita perlu lakukan sesuatu dengan cara yang berbeza selepas pasca PKP ini.

“Dari segi universiti begitu juga, bagaimana kita boleh gunakan ‘virtual classroom’. Ini peluang untuk kita mula gunakan inovasi dari segi pendidikan. Kalau lihat Korea Selatan, negara yang tidak melaksanakan PKP tetapi masih dapat membendung wabak Covid-19 ini.

“Ini disebabkan infrastruktur mereka sudah ada di sana seperti internet. Mereka sudah biasa, mungkin ini satu peluang kepada kita untuk mempertingkatkan capaian hubungan kita,” katanya.

PKP yang diperkenalkan Putrajaya sudah memasuki hari ke 21 hari ini dan dijangka tamat pada 14 April depan dan tidak menolak kemungkinan akan disambung lebih lama sekiranya usaha melandaikan puncak jangkitan ini masih tidak dapat dilakukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.