KKM kesan 69 kes sporadik Covid-19

KKM kesan 69 kes sporadik Covid-19

Ia selepas 8,025 ujian saringan dijalankan terhadap pesakit influenza-like-illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI).

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
PUTRAJAYA:
Terdapat 69 kes sporadik wabak Covid-19 dikesan setakat ini yang tidak diketahui punca dan asal-usul jangkitannya.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata keputusan itu diperoleh selepas 8,025 ujian saringan dijalankan terhadap pesakit influenza-like-illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) dengan baki 7,956 keputusan ujian pula adalah negatif.

“Ada kes yang kita kesan sebagai kes sporadik, tapi dia didapati ada sejarah sama ada kaitan di perhimpunan tabligh Sri Petaling atau perhimpunan gereja di Kuching.

“Jadi, itu bukan sporadik sebab kita dapat kesan rekod mereka,” katanya hari ini.

Dalam perkembangan lain, Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan memerlukan masa kira-kira 10 hari untuk menjalankan aktiviti nyahcemar di bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Perkembangan ini ekoran kawasan tersebut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selepas 15 kes positif Covid-19 dikesan.

Ini menjadikan, kawasan tersebut sebagai kawasan ke-4 yang dikenakan PKPD selepas Simpang Renggam, Sungai Lui di Hulu Langat dan Menara City One.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.