Jangan ‘eksploitasi’ virus dalam pertikaian laut, AS beritahu China

Jangan ‘eksploitasi’ virus dalam pertikaian laut, AS beritahu China

Ia selepas Vietnam mendakwa Beijing menenggelamkan sebuah kapal pukat tunda milik nelayan negara itu.

Kapal Pengawal Pantai China berada di Laut China Selatan kira-kira 210km dari Vietnam tahun lalu. (Gambar Reuters)
WASHINGTON:
Amerika Syarikat (AS) memberi amaran kepada China supaya tidak mengambil kesempatan daripada penularan koronavirus untuk menguasai Laut China Selatan, selepas Vietnam mendakwa Beijing menenggelamkan sebuah kapal pukat tunda.

Jabatan Negara AS mendakwa ketika seluruh dunia memfokuskan usaha memerangi Covid-19, China membina stesen penyelidikan dan menerbangkan pesawat tentera khasnya ke kawasan pertikaian itu.

“Kami menyeru China kekal fokus menyokong usaha antarabangsa memerangi pandemik global itu, dan berhenti mengeksploitasi tumpuan atau kelemahan negara lain untuk memperluaskan tuntutannya yang melanggar undang-undang di Laut China Selatan,” kata jurucakap Jabatan Negara Morgan Ortagus, dalam satu kenyataan.

Vietnam berkata, ia membuat bantahan terhadap Beijing minggu lalu, selepas Pengawal Pantai China “menghalang, merempuh dan menenggelamkan” sebuah bot Vietnam yang dinaiki 8 nelayan berhampiran Kepulauan Paracel.

Vietnam – seperti China dan Taiwan, menuntut kedaulatan ke atas Kepulauan Paracel – menerusi Kementerian Luarnya meminta Beijing membayar ganti rugi kepada nelayan terbabit, mengenakan “disiplin tegas” terhadap pegawai bertanggungjawab dan mengelakkan perkara sama berulang.

AS berkata, ia “sangat bimbang” dengan kejadian itu.

“Insiden ini yang terbaru dalam rentetan tindakan China membuat tuntutan maritim melanggar undang-undang dan tidak menguntungkan negara jiran Asia Tenggaranya di Laut China Selatan,” kata Ortagus.

AS, yang sedang meningkatkan hubungannya dengan Vietnam, mencabar tuntutan China di Laut China Selatan – satu daripada laluan air tersibuk di dunia yang kaya dengan rizab minyak.

Bulan lalu, Beijing mendakwa AS melakukan tindakan “provokatif” kerana kapal pemusnah peluru berpandu USS McCampbell belayar berhampiran Kepulauan Paracel tanpa kebenaran Beijing.

Ketegangan antara China dan AS meningkat secara ketara beberapa tahun ini, di mana Washington mendakwa Beijing tidak mengawal Covid-19 dengan segera menyebabkan virus itu kini menjangkiti lebih sejuta orang di seluruh dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.