Putrajaya kaji lebih banyak kawasan dikenakan PKPD

Putrajaya kaji lebih banyak kawasan dikenakan PKPD

Ini susulan perkembangan seperti di Lembah Pantai yang merekodkan lebih 350 kes Covid-19.

Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan tidak mahu PKPD dilaksanakan di kawasan radius terlalu luas.
PUTRAJAYA:
Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan sedang mempertimbangkan lebih banyak kawasan dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dalam usaha berterusan kerajaan membendung penularan Covid-19.

“Mereka masih membuat penilaian secara terperinci,” katanya dalam sidang media hari ini.

“Kali ini, kita lebih fokus. Kita tidak mahu mengambil kawasan radius yang terlalu luas.”

Beliau memberi contoh 1 kes positif yang mungkin dilaporkan di sebuah kampung, tetapi sekatan dilaksanakan bagi radius 5 atau 6km.

“Kalau di Lembah Pantai, mungkin tempat dia dari segi ‘density’ dia tinggi. Jadi kita akan lihat bagaimana, tempat mana dan sebagainya yang perlu diadakan ‘lockdown’.

“Kementerian Kesihatan akan tampil dengan SOP baru mengenai kawasan yang akan ‘lockdown’ ini.”

Semalam, satu lokasi di Kuala Lumpur dan 2 di Selangor dikategorikan sebagai zon merah kerana mencatat lebih 300 kes positif Covid-19.

Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis (CPRC) memaklumkan ia meliputi Lembah Pantai di KL dengan 367 kes, manakala Petaling dan Hulu Langat di Selangor masing-masing mencatatkan 308 serta 307 kes.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, terpulang kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sama ada mahu membenarkan perniagaan terus beroperasi sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ini susulan laporan mengenai Majlis Bandaraya Seberang Perai membenarkan kedai perkakasan, alat ganti jentera pertanian dan industri, input pertanian serta kedai makanan dan ubatan haiwan dibenarkan beroperasi 2 kali seminggu pada Isnin dan Khamis dari 8 pagi hingga 2 petang.

“Ini bukan hari biasa.

“Kalau hari biasa, PBT (pihak berkuasa tempatan) boleh menggunakan kuasa mereka untuk membenarkan atau tidak membenarkan sesuatu industri ataupun premis perniagaan dibuka, termasuk bengkel dan sebagainya.”

Katanya, semua keputusan membabitkan negeri atau daerah mesti diselaraskan dengan hasrat kerajaan persekutuan berdasarkan apa yang ditentukan MKN.

“Saya harap tidak berlaku lagi perkara-perkara seperti yang disebutkan tadi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.