Peniaga gesa kerajaan sedia alternatif selepas batal bazar Ramadan

Peniaga gesa kerajaan sedia alternatif selepas batal bazar Ramadan

Seorang peniaga bazar Ramadan di Selangor mencadangkan kerajaan negeri mempertimbangkan bazar Ramadan diadakan mengikut SOP ketat seperti di pasar borong dan pasar tani.

Mastar Muni dan Husain Ali menjana pendapatan sehingga RM5,000 ketika berniaga di bazar Ramadan pada tahun sebelumnya.
PETALING JAYA:
Peniaga meminta kerajaan menyediakan pelan alternatif selepas beberapa negeri membatalkan penganjuran bazar Ramadan dalam usaha membendung penularan Covid-19.

Seorang peniaga bazar Ramadan di Selangor, Mastar Muni akur dengan keputusan kerajaan, tetapi sedikit kecewa kerana tidak dapat menjana pendapatan seperti dahulu.

“Saya sudah berniaga di bazar Ramadan hampir 20 tahun.

“Tahun ini sudah tentu berbeza kerana pendapatan saya merosot,” kata peniaga nasi lemak itu kepada FMT.

Mastar, 57, berkata secara purata beliau memperoleh sehingga RM5,000 ketika berniaga di bazar Ramadan.

Beliau tidak pasti bagaimana mahu menjual nasi lemak pada bulan puasa tahun ini, walaupun jika kerajaan memperkenalkan perniagaan atas talian.

Katanya, kerajaan negeri sepatutnya mempertimbangkan bazar Ramadan diadakan, tetapi mengikut prosedur operasi standard ketat seperti peniaga di pasar borong dan pasar tani.

Beliau mendakwa kebanyakan kedai runcit yang beroperasi ketika PKP tidak mematuhi SOP betul.

Sepanjang perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasaka sejak 18 Mac lalu, Mastar berkata, beliau mengalami kerugian walaupun masih mampu menjual nasi lemak dan itik salai melalui kaedah penghantaran.

Pada 3 April lalu, Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kerajaan tidak akan membenarkan penganjuran bazar Ramadan jika PKP dilanjutkan.

Tetapi, katanya, jika PKP berakhir sebelum ketibaan bulan puasa, operasi bazar Ramadan bergantung kepada SOP baru yang akan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

Sehingga kini, Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Sarawak dan Sabah sudah membatalkan penganjuran bazar Ramadan dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Seorang peniaga bazar Ramadan di Melaka, Husain Ali, 57, menyambut baik keputusan kerajaan negeri itu, tetapi beliau bimbang dengan masa depannya.

Peniaga nasi lemak kukus itu berkata, ketika ini, beliau hanya bergantung kepada pencen RM200 sebulan dan menjual kopi secara kecil-kecilan atas talian.

Katanya, beliau menjana pendapatan RM5,000 ketika berniaga di bazar Ramadan pada tahun sebelumnya.

“Tahun ini dibatalkan sebab kita tahu Covid-19 tak menentu. Kita perlu ikut perintah kerajaan.

“Saya belum belum terfikir mahu menjual apa pada bulan Ramadan nanti. Buat masa ini, fokus dengan jual kopi online.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.