
“Setiap kali tekak saya terasa kering, akan bersin atau batuk, saya berasa cemas. Saya dan suami (Adi Badiozaman Tuah) diminta mengawasi gejala-gejala seperti demam, batuk dan sesak nafas,” katanya ketika berkongsi pengalaman menjalani kuarantin sejak beberapa hari lepas melalui WhatsApp dengan wartawan di sini.
Fatimah antara 5 anggota Kabinet Sarawak yang diarahkan menjalani kuarantin di rumah selepas mereka dilaporkan menjadi kontak rapat beberapa individu yang diuji positif Covid-19.
Beliau menyibukkan dirinya dengan bekerja seperti biasa di rumah tanpa meninggalkan solat dan aktiviti berbentuk kerohanian.
Meskipun dikuarantin, Fatimah sentiasa berhubung dengan kakitangannya dan Jawatankuasa Khas Rantaian Bekalan Makanan Negeri yang mana beliau adalah timbalan pengerusi.
“Ada ketikanya jawatankuasa kami bekerja dari rumah sehingga lewat malam. Kami menyelesaikan masalah dengan berkomunikasi antara satu sama lain melalui telefon,” katanya yang menjangkakan bil telefon untuk Mac dan April akan meningkat.
“Sentiasa berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan. Makan makanan sihat (Ini lebih mudah diperkatakan daripada dilakukan kerana kelemahan saya ialah kudap-kudapan). Minda, tubuh badan dan semangat, semua perlu dijaga,” katanya.
Pada masa sama, mesej yang diterima melalui WhatsApp lebih banyak berbanding hari biasa dengan kata-kata menenangkan hati, nasihat dan galakan yang membantu menaikkan semangatnya, selain merapatkan hubungannya dengan ahli keluarga serta rakan.
Anggota Kabinet Sarawak lain yang diarahkan menjalani kuarantin ialah Timbalan Ketua Menteri I, Douglas Uggah Embas, Timbalan Ketua Menteri III, Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dr Sim Kui Hian dan Menteri Utiliti, Stephen Rundi Utom.