
Perintah itu dikeluarkan oleh Hakim Besar Malaya, Azahar Mohamed dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim.
Berikutan itu, ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh mengeluarkan arahan kepada timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi dan penolong pendaftar kanan dalam satu surat bertarikh hari ini yang dilihat oleh FMT.
“Perkara itu mesti dibawa kepada pengetahuan Hakim Besar Malaya serta dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak supaya tarikh untuk semua rayuan yang berkaitan dengan kesalahan PKP dan permohonan semakan kehakiman ditetapkan segera dan dibuat mahkamah terbuka,” kata Terrirudin.
Semalam, bekas hakim Mohd Hishamudin Yunus berkata, hakim Mahkamah Tinggi harus segera mengkaji semula kes pesalah yang dijatuhkan hukuman berlebihan kerana melanggar PKP, yang bertujuan mengekang penyebaran virus Covid-19.
“Hakim boleh memanggil sendiri kes itu walaupun hanya setelah membaca mengenainya dalam akhbar. Tidak perlu menunggu semakan atau rayuan,” katanya kepada FMT.
Hishamudin, yang bersara sebagai hakim Mahkamah Rayuan berkata, undang-undang itu wujud di bawah Seksyen 31 dan 35 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan Seksyen 323 dan 325 Kanun Prosedur Jenayah.
Beliau mengulas kes 2 buruh yang ditangkap memancing ketika PKP dan dihukum penjara 3 bulan oleh Mahkamah Majistret di Sungai Siput, Perak.
Chin Chee Wei and Chong Poh Wah, yang mengaku bersalah atas pertuduhan itu berkata, mereka hanya cuba menyediakan makanan untuk keluarga.
Peguam menggesa polis supaya menawarkan ikat jamin kepada pesalah PKP dan meminta mereka pergi ke mahkamah kemudian jika pendakwa raya memutuskan untuk membuat pendakwaan.
Mereka berkata, majistret juga boleh mengenakan denda minimum, penjara sehari atau mengarahkan mereka supaya berkelakuan baik.
Sebagai alternatif, mereka berkata, pesalah juga boleh dibenarkan membayar kompaun tidak melebihi RM1,000.