
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini KKM menyasarkan kira-kira 16,500 individu untuk disaring berdasarkan kapasiti makmal sedia ada.
Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya menjangkakan bilangan kumpulan sasar itu akan meningkat sekiranya kit ujian yang menjanjikan aspek ketepatan tiba di Malaysia daripada pembekal di luar negara.
“Dengan kit ujian yang menjamin ketepatan (ujian), kita harap jumlah saringan meningkat kepada 20,000,” katanya kepada media di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, hasil siasatan mendapati terdapat beberapa kluster Covid-19 berpunca daripada himpunan besar orang ramai.
Jelasnya, sehingga kini sebanyak 18,310 sampel diambil daripada peserta himpunan tabligh jemaah tabligh di Seri Petaling dengan 4,978 belum mendapat keputusan dan 1,624 disahkan positif.
Selain kluster himpunan tabligh, seramai 83 orang disahkan positif, termasuk daripada satu persidangan keagamaan selama 3 hari di sebuah gereja di Kuching, Sarawak.
Menurutnya, daripada kluster itu berlaku 2 kes kematian, iaitu kes 358 dan kes 2,471 dengan 5 kes kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Selain itu, 88 kes positif disahkan berpunca daripada satu majlis perkahwinan di Bandar Baru Bangi yang kemudian membentuk jangkitan sehingga generasi ke-5.
Bagaimanapun kata beliau, tiada kematian dilaporkan berkaitan dengan kluster terbabit.
Beliau meminta orang ramai mengelak daripada memnyalahkan mana-mana pesakit atau kumpulan yang dikaitkan dengan kluster jangkitan Covid-19.
“Janganlah kita stigmakan mereka.
“Apa yang penting, kita bantu kesan dan merawat jangkitan di kalangan mereka yang terlibat, keluarga dan kontak mereka.”