
Beliau berkata, ini termasuk ketika bersentuhan dengan haiwan, termasuk yang dipelihara.
“Saya faham ramai yang bertanya mengenai jangkitan Covid-19 dengan haiwan dan haiwan peliharaan.
“Bagi pencinta haiwan, yang menganggap haiwan peliharaan sebagai sebahagian daripada keluarga mereka, sentiasa basuh tangan anda sebelum dan selepas mengendalikannya,” kata beliau.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Veterinar (DVS) bagi mendapatkan nasihat lanjut mengenai perkara ini.
Terdahulu, seekor harimau di sebuah zoo di Bronx di New York disahkan positif Covid-19, menurut zoo itu pada Ahad yang dipetik agensi berita Xinhua.
Nadia, harimau Malaya betina berusia 4 tahun itu sebelum ini dilaporkan menghidap batuk kering.
Zoo itu dalam satu kenyataan berkata, 3 ekor lagi harimau dan 3 ekor singa Afrika juga dipantau.
Perkara itu disahkan oleh Makmal Perkhidmatan Veterinar Kebangsaan, Jabatan Pertanian Amerika Syarikat.
Harimau tersebut terdedah kepada penyakit selepas seorang pekerja zoo disahkan positif Covid-19, tetapi tidak menunjukkan gejala semasa menjaga haiwan berkenaan.
Bulan lepas AFP melaporkan pihak berkuasa kesihatan Belgium mengesahkan seekor kucing peliharaan dijangkiti Covid-19 daripada pemiliknya.
Kes sama dilaporkan di Hong Kong apabila 2 ekor anjing disahkan positif virus tersebut susulan kempen saringan ke atas haiwan peliharaan yang tinggal bersama pemilik yang dijangkiti Covid-19.
Laporan AFP bagaimanapun menyebut jangkitan ke atas haiwan peliharaan sangat jarang berlaku dan pihak berkuasa menolak risiko jangkitan daripada haiwan peliharaan di rumah.