40% syarikat pemula niaga IT mungkin gulung tikar tanpa bantuan

40% syarikat pemula niaga IT mungkin gulung tikar tanpa bantuan

Future Digital mencadangkan kerajaan memperuntukkan RM200 juta bagi membiayai syarikat pemula niaga menerusi agensi MAVCAP and MDV.

Kajian Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia mendapati kurang 3% syarikat pemula niaga mampu bertahan sekiranya penularan Covid-19 berterusan sehingga 12 bulan akan datang.
KUALA LUMPUR:
Kira-kira 40% daripada syarikat pemula niaga teknologi dan perusahaan sosial dijangka tidak dapat meneruskan perniagaan mereka mulai Jun ini sekiranya tidak diberikan bantuan, kata Future Digital, cabang kumpulan pemikir Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom).

Pengerusi Future Digital, Ganesh Kumar Bangah dalam kenyataan hari ini berkata, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat bernilai RM250 bilion yang bertujuan mengurangkan impak negatif Covid-19, seharusnya turut memberi perlindungan kepada komuniti pemula niaga teknologi.

“Pakej rangsangan yang baru diumumkan ini menyediakan (sama ada) hanya sedikit bantuan atau tidak dapat membantu syarikat pemula niaga teknologi kerana mereka tidak layak memohon pinjaman berikutan ramai daripada mereka yang beroperasi kurang dari setahun, tidak mempunyai rekod prestasi dan tidak memenuhi jumlah minimum kakitangan yang diperlukan.

“Sekiranya perintah kawalan pergerakan (PKP) dilanjutkan untuk beberapa minggu lagi, maka sukar untuk kebanyakan syarikat ini bertahan kerana mereka berkemungkinan tidak mempunyai aliran tunai yang mencukupi,” kata Ganesh yang sebelum ini merupakan pengerusi Picom.

Menurut kajian Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) pada Mac 2020, kurang daripada 3% syarikat pemula niaga akan mampu bertahan sekiranya penularan Covid-19 ini berterusan sehingga 12 bulan akan datang.

Sehubungan itu, Future Digital Pikom mencadangkan kerajaan memperuntukkan RM200 juta daripada RM4.5 bilion untuk membantu perusahaan kecil dan sederhanadi bawah pakej rangsangan ekonomi bagi membiayai syarikat teknologi dan pemula niaga menerusi agensi pembiayaan seperti Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP) and Malaysia Debt Ventures (MDV).

Agensi pembiayaan tersebut boleh bekerjasama dengan agensi kerajaan lain seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan MaGIC untuk memberikan dana kepada entiti teknologi yang memerlukan bantuan kerana agensi ini mempunyai komuniti syarikat teknologi dan pemula niaga yang kukuh.

“Kerajaan juga perlu terus menggalakkan pelaburan daripada sektor swasta ke dalam syarikat teknologi dan pemula niaga dengan menyediakan pelaburan sepadan atau sebahagian jaminan kepada pelabur Malaysia yang melabur dalam syarikat pemula niaga Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.