3 zon merah di KL, Selangor masing-masing catat lebih 300 kes positif Covid-19

3 zon merah di KL, Selangor masing-masing catat lebih 300 kes positif Covid-19

Daerah Lembah Pantai di Kuala Lumpur mencatatkan 367 kes positif Covid-19, manakala 2 daerah di Selangor, iaitu Petaling dan Hulu Langat masing-masing mencatat 308 dan 307 kes.

Jumlah zon merah Covid-19 yang dikenal pasti kekal 17 daerah di seluruh negara dan tiada pertambahan zon setakat ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Satu lokasi zon merah di Kuala Lumpur dan 2 lagi di Selangor masing-masing mencatat lebih 300 kes positif Covid-19, jumlah yang tertinggi bagi satu-satu kawasan setakat ini, menurut Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM).

Kenyataan yang dikongsikan CPRC KKM menerusi aplikasi Telegram hari ini memaklumkan ia meliputi daerah Lembah Pantai di Kuala Lumpur dengan 367 kes, manakala 2 daerah di Selangor, iaitu Petaling dan Hulu Langat masing-masing mencatat 308 dan 307 kes.

“Jika berlaku peningkatan kes secara mendadak di satu-satu kawasan, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dikenakan bagi mencegah jangkitan daripada merebak,” menurut kenyataan itu.

Jumlah zon merah yang dikenal pasti kekal 17 daerah dan tiada pertambahan zon merah setakat ini.

Daerah lain yang turut dikategorikan sebagai zon merah, iaitu kes positif melebihi 41 kes dan ke atas ialah Kepong dan Titiwangsa (Kuala Lumpur), Gombak dan Klang (Selangor) serta Batu Pahat, Johor Bahru dan Kluang (Johor).

Hilir Perak dan Kinta (Perak), Kota Bharu (Kelantan), Tawau (Sabah), Kuching (Sarawak), Jerantut (Pahang) dan Seremban (Negeri Sembilan).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.