Rakyat Malaysia terkandas di luar negara turun 2,298 orang

Rakyat Malaysia terkandas di luar negara turun 2,298 orang

Setakat ini 4,811 orang rakyat Malaysia selamat pulang ke tanah air.

Timbalan Menteri Luar Kamarudin Jaffar berkata, 3 penerbangan sewaan khas Malindo Air dari New Delhi, Mumbai dan Chennai dijangka tiba pada 5 dan 6 April ini bagi membawa rakyat Malaysia yang terkandas di India.
PETALING JAYA:
Kementerian Luar Negeri berkata setakat hari ini seramai 2,298 orang rakyat Malaysia masih terkandas di 47 buah negara.

Timbalan Menterinya, Kamarudin Jaffar berkata, bilangan rakyat Malaysia terkandas di India merekodkan jumlah tertinggi iaitu seramai 1,016 orang.

“Negara-negara lain yang mencatatkan jumlah besar rakyat Malaysia yang terkandas adalah di Thailand (172 orang), New Zealand (136), Pakistan (128), Vietnam (122), Arab Saudi (83), Australia (77), Filipina (66), Sri Lanka (65) dan Nepal (43),” katanya.

Dalam pada itu, Kamarudin berkata, 4,811 orang telah selamat pulang ke tanah air, sama ada melalui proses repatriasi yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan, sumbangan parti politik, pihak swasta, mahupun dibiayai secara persendirian.

Beliau berkata penerbangan sewaan khas Malindo Air yang membawa 270 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Chennai dan Trichy tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini masing-masing melalui penerbangan OD210 pada jam 4.15 pagi dan penerbangan OD222 pada jam 4.51 petang.

“Kementerian Luar Negeri sedang giat menyelaras usaha untuk membawa pulang baki rakyat Malaysia yang masih terkandas di India.

“Sebanyak 3 penerbangan sewaan khas Malindo Air dari New Delhi, Mumbai dan Chennai dijangka tiba pada 5 dan 6 April 2020,” katanya.

Kamarudin berkata, 2,567 rakyat Malaysia yang terkandas di India telah berjaya dibawa pulang.

Beliau menafikan beberapa rakaman video tular kebelakangan ini mengenai “kedaifan” pusat kuarantin di India yang menempatkan sekumpulan rakyat Malaysia.

“Kementerian Luar Negeri ingin memaklumkan bahawa rakyat Malaysia terbabit dikuarantin oleh pihak berkuasa India lanjutan penglibatan mereka dalam perhimpunan tabligh yang berlangsung di Markaz Nizamuddin pada 10 hingga13 Mac lalu.

“Ini adalah salah satu langkah yang diambil oleh kerajaan India untuk mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kamarudin berkata, sebuah pesawat sewaan khas Malindo Air (OD8184) membawa 66 penumpang yang terkandas di Nepal dijangka tiba di KLIA pada jam 8.05 malam ini.

Beliau berkata, penerbangan itu dibiayai sepenuhnya oleh MIC.

“Rakyat Singapura (yang transit) tidak akan menjalani proses kuarantin di Malaysia kerana mereka akan terus dibawa pulang menerusi sebuah pesawat khas sejurus ketibaan mereka di KLIA,” katanya.

Kamarudin juga berkata 115 orang rakyat Malaysia akan tiba di KLIA pada hari ini, jam 10.30 malam melalui penerbangan komersial MH 767 yang dijadualkan semula oleh Malaysia Airlines.

Katanya, penerbangan ini tidak dapat dilaksanakan tanpa kolaborasi erat Kedutaan Besar Malaysia di Hanoi dan Konsulat Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh City bersama Malaysia Airlines.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta jutaan terima kasih kepada semua penjawat awam yang bekerja keras di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu, Kedutaan Besar Malaysia di Hanoi dan Konsulat Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh City atas inisiatif serta bantuan konsular yang dihulurkan bagi membantu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.