
Kedutaan AS di Kuala Lumpur bekerjasama dengan 30 anggota Dewan Perniagaan AS di Malaysia (Amcham), terutama daripada industri elektronik seperti Intel dan Micron untuk memenuhi pelbagai keperluan.
Duta AS ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir berkata, menerusi program “My Amcham Cares”, syarikat AS memberikan sumbangan kewangan dan bekalan perubatan kritikal, topeng, pensanitasi, komputer dan peralatan perlindungan diri.
“Setakat ini, menerusi program My Amcham Cares itu, firma AS sudah memberikan sumbangan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Kedah, Perak, Sabah dan Selangor.
“Di peringkat persekutuan, mereka memberikan sumbangan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Jabatan Kastam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Amcham Malaysia, Siobhan Das kagum dengan kemurahan hati anggotanya yang komited terhadap tanggungjawab sosial korporat lain.
“Ketika Malaysia sangat memerlukan mereka, mereka menunjukkan kemurahan hati benar-benar tidak mengenal batas,” katanya.