Putrajaya tubuh jawatankuasa khas bantu PKS, perniagaan tangani kesan Covid-19

Putrajaya tubuh jawatankuasa khas bantu PKS, perniagaan tangani kesan Covid-19

Jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan bersama menteri kanan Mohamed Azmin Ali dan Ismail Sabri Yaakob.

PKS terjejas teruk susulan penularan Covid-19 dan PKP yang menyebabkan mereka tidak boleh menjalankan perniagaan buat sementara.
PETALING JAYA:
Putrajaya memutuskan penubuhan sebuah jawatankuasa khas Kabinet bagi menangani kesan penularan Covid-19 ke atas perniagaan dan ekonomi.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan bersama menteri kanan Mohamed Azmin Ali dan Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, ia bertujuan “mengimbangi keutamaan ekonomi negara dan keberkesanan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan”, serta menangani krisis dihadapi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurutnya, jawatankuasa itu akan mengadakan mesyuarat esok dan mendapatkan maklum balas orang ramai serta pandangan pemain industri.

“Usaha ini ialah kunci untuk memastikan jawatankuasa itu akan menangani isu khusus yang dihadapi komuniti perniagaan, terutamanya PKS, pengilang dan pelabur,” katanya dalam satu kenyataan.

Keputusan menubuhkan jawatankuasa itu dibuat Kabinet semalam, kira-kira seminggu selepas pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM250 bilion untuk membantu berjuta rakyat terjejas akibat Covid-19 yang mengorbankan 45 nyawa dan lebih 2,000 orang dijangkiti virus itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.