Pulang sebelum AS, UK laksana sekatan keluar masuk, Hisham beritahu rakyat Malaysia

Pulang sebelum AS, UK laksana sekatan keluar masuk, Hisham beritahu rakyat Malaysia

Menteri luar itu berkata, masih ada penerbangan komersial yang keluar masuk 2 negara itu.

Hishammuddin Hussein (kiri) dan Bai Tian memegang papan menunjukkan senarai peralatan perubatan yang disumbangkan Beijing. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Menteri Luar, Hishammuddin Hussein menggesa rakyat Malaysia di Amerika Syarikat dan United Kingdom pulang sebelum 2 negara itu melaksanakan sekatan keluar masuk bagi membendung penularan Covid-19.

Katanya, masih ada penerbangan komersial yang keluar masuk 2 negara itu.

“Jadi, nasihat saya kepada rakyat Malaysia ialah balik sekarang. Jangan tunggu sehingga ada sekatan keluar masuk di kedua-dua negara,” katanya selepas menerima sumbangan peralatan perubatan dari Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian di Wisma Putra hari ini.

Hishammuddin berkata, jika 2 negara itu melaksanakan sekatan keluar masuk dan rakyat Malaysia hanya meminta bantuan selepas itu, kos menyewa pesawat adalah mahal.

“Di AS, jika kita mahu bawa pulang semua rakyat Malaysia, ia akan menelan belanja kira-kira RM50 juta.

“Wang itu boleh dibelanjakan untuk membeli peralatan dan ubat-ubatan di sini.”

Pesawat membawa konsainan peralatan perubatan sumbangan China tiba di lapangan terbang. (Gambar Facebook)

Lebih 100,000 kes Covid-19 dilaporkan di AS dan 14,579 kes di UK setakat hari ini.

Hishammuddin berkata, usaha membawa pulang rakyat Malaysia di negara seperti China, India dan Itali dilakukan dengan bantuan pihak ke-3 dan penaja.

“Timbalan saya (Kamarudin Jaffar) sentiasa mengemas kini orang ramai atas usaha kami untuk membawa pulang rakyat Malaysia. Ia bergantung kepada penaja dan bantuan tanpa menyentuh dana awam.”

Malaysia menerima bantuan daripada China hari ini yang terdiri daripada 100,000 kit ujian, 100,000 topeng N95, 500,000 topeng pembedahan, 50,000 unit peralatan perlindungan diri (PPE) dan 200 unit ventilator.

Hishammuddin mengucapkan terima kasih kepada Beijing atas sumbangan peralatan itu yang akan digunakan anggota barisan depan.

Bai memberitahu wartawan, kerajaan China sedia memberi bantuan pakar perubatan kepada Malaysia untuk memerangi pandemik Covid-19.

“Kami masih membuat perancangan untuk ini kerana kami perlu tahu apa keperluan sebenar di lapangan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.