Kesan pakej RM250 bilion melebihi 3 bulan, kata Azmin

Kesan pakej RM250 bilion melebihi 3 bulan, kata Azmin

Menteri perdagangan antarabangsa dan industri berkata, pakej rangsangan ekonomi bertujuan menyelamatkan pekerja dan membantu majikan tidak membuang mereka.

Azmin Ali berkata, hasil gandaan daripada pakej rangsangan ekonomi bernilai RM250 bilion dapat membantu pertumbuhan dan aktiviti ekonomi kelak.
KUALA LUMPUR:
Kesan limpahan daripada pakej rangsangan ekonomi bernilai RM250 bilion dapat menjadikan Malaysia lebih bersedia dan berdaya tahan, walaupun cabaran pandemik Covid-19 mungkin berterusan selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) berakhir.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali berkata, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengambil langkah berani melancarkan pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat (PRIHATIN) bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan menyokong para peniaga di negara ini.

“Kalau kita tidak ada bantuan dan suntikan ini, kita bimbang keadaan akan lebih parah lagi apabila syarikat-syarikat tidak beroperasi dan mereka tidak ada pilihan selain membuang pekerja.

“Sebab itu pendekatan kita adalah menyelamatkan pekerja dan membantu majikan supaya tidak membuang mereka.

“Saya yakin kesan pakej ini sebenarnya bukan hanya untuk tempoh 3 bulan ini, tetapi hasil gandaan daripada pakej ini akan dapat membantu pertumbuhan dan aktiviti ekonomi dalam tempoh akan datang,” katanya dalam Program Bicara Naratif Pakej Rangsangan Ekonomi disiarkan RTM secara langsung hari ini.

“Kita sedia maklum bahawa dunia menghadapi situasi amat sukar dan Malaysia tidak terkecuali dengan penularan Covid-19 di kala kelembapan ekonomi dunia.”

Selain itu, katanya, Malaysia sebagai negara pengeluar minyak turut terkesan dengan harga minyak mentah dunia merundum ketika ini.

“Jadi kita perlu menyusun semula negara dan sebab itu kita berani melancarkan pakej RM250 bilion ini.

“Harapan kita apabila selesai tempoh perintah kawalan pergerakan, kita dapat lihat satu keadaan yang meyakinkan.”

Azmin berkata, Kementerian Kewangan menyediakan modul dan perincian kepada semua kementerian mengikut tanggungjawab masing-masing bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada kumpulan sasaran dan perkara itu dipantau Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana).

“Kita punya data lengkap khususnya penerima bantuan B40 dan perusahaan kecil dan sederhana. Untuk M40 mungkin sedikit cabaran seperti saya sebut sebelum ini, kerajaan kurang beri perhatian pada kategori ini.

“Dan mungkin atas dasar itu, kita tidak mempunyai data lengkap dan perlu dipertingkatkan (usaha untuk mendapatkannya) supaya yang layak dapat hak mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.