
Antara tangkapan terbaru adalah di Petaling Jaya, yang menyaksikan 15 individu, termasuk seorang wanita ditahan selepas dipercayai mengingkari PKP di beberapa lokasi sekitar daerah berkenaan.
Kesalahan mereka yang ditahan adalah kerana keperluan pergerakan yang tidak tersenarai sebagaimana peruntukan Seksyen 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
Polis juga menahan 7 lelaki tempatan kerana melanggar PKP dalam 2 kes berasingan di Kuala Selangor dan Bestari Jaya malam semalam.
Di Kedah pula, polis menahan 11 lelaki kerana terlibat dalam pergaduhan serta mengingkari PKP di Taman Selasih, Kulim juga malam semalam.
Di Sarawak, 28 individu yang terdiri daripada 24 lelaki dan 4 wanita ditahan kerana melanggar PKP sejak semalam.
Di George Town, Pulau Pinang, polis menahan 7 lelaki yang sedang leka bersukan, termasuk berjoging di sebuah padang awam di Pulau Tikus semalam kerana ingkar dan melanggar perintah kawalan.
Pada mulanya polis yang meronda di kawasan berkenaan melihat 6 lelaki sedang leka bermain bola sepak, manakala seorang lagi berjoging sebelum mereka diberi nasihat supaya bersurai dan pulang ke rumah.
Bagaimanapun mereka memberi alasan hanya bersenam, bukan saja-saja berkumpul, menyebabkan polis menahan kesemua mereka.
Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin berkata semalam bahawa tindakan lebih keras akan dilaksanakan pada minggu kedua PKP ke atas orang ramai yang masih ingkar.
Menurutnya, pada minggu pertama PKP sebelum ini, polis mengambil tindakan secara berhemah dan memberi kepada orang awam supaya mengurangkan pergerakan, tetapi dalam minggu kedua, penguatkuasaan PKP akan lebih tegas.