
Tinjauan FMT selama 3 jam ke sebuah kediaman flat di Lembah Subang 1 di Ara Damansara mendapati rata-rata keluarga bersesak di bawah satu bumbung, tiada bekalan makanan yang mencukupi dan tiada fasiliti kebersihan disediakan sewaktu negara berdepan ancaman wabak Covid-19.
Suasana yang sunyi menyelubungi setiap blok flat itu meskipun jam baru menunjukkan pukul 4.30 petang.
Tiada seorang pun boleh dilihat di luar kawasan rumah, hanya kelihatan beberapa motor penghantar makanan yang menunggu pelanggan turun mengambil pesanan.
Ketika menuju ke tingkat atas untuk bertemu penghuni dari rumah ke rumah, FMT mendapati tiada pensanitasi tangan disediakan di atas meja pengawal keselamatan sebelum penghuni menaiki lif.
Keadaan di dalam rumah jelas menunjukkan kurang pencahayaan dan peredaran udara semula jadi disebabkan hanya satu tingkap utama yang membolehkan akses angin luar masuk.

FMT dimaklunkan bangunan blok flat itu dibina pada 1997 dan mula didiami pada 2000.
Ruang dalam rumah yang terhad mudah membuatkan penghuni berasa lemas dan tidak selesa.
Ini lebih nyata dalam kalangan kanak-kanak yang dapat merasai situasi dalam tempoh PKP sangat berbeza dengan gaya hidup mereka sebelum itu, iaitu berada di sekolah pada waktu pagi dan beriadah bersama rakan sebaya pada waktu petang.
Bercakap kepada FMT, Rosyamsiah Derus memberitahu anaknya masing-masing berumur 12 dan 7 tahun seringkali merengek dan meminta kebenaran untuk keluar bermain.
Pasangan suami isteri itu mempunyai seorang lagi anak perempuan berumur 15 tahun.
Bagaimanapun, beliau dan suami hanya membenarkan anak-nak mereka bermain di kawasan koridor rumah yang terletak di tingkat 6 bangunan itu.
Di rumah yang sama, FMT mendapati, ketiga-tiga anak Syamsiah berkongsi satu bilik untuk tidur, bermain dan menyalin pakaian setiap hari.

Apakah yang mereka makan sewaktu PKP?
Di rumah kedua, FMT meminta kebenaran penghuninya untuk melihat sendiri apakah bekalan makanan yang ada di dalam peti ais di dapur.
Ia juga bagi menilai kemampuan mereka menyediakan menu dan hidangan sewaktu perintah kawalan pergerakan ini berjalan.
FMT melihat terdapat bekas besen kecil yang kosong di bahagian sejuk beku, manakala beberapa biji telur dan ramuan masakan di bahagian bawah peti ais keluarga itu.
Penghuni yang mahu dikenali sebagai Faizal, 40 bekerja sebagai pemandu di sebuah syarikat swasta sementara isterinya, Noralia, 36, bekerja kilang di Kepong.

Kata Noralia, beliau hanya memasak sekali sehari untuk makan tengah hari dan malam malam.
“Sarapan biasanya ringan-ringan sahaja seperti roti dan minum air,” katanya lembut.
Sebelum meninggalkan blok flat berkenaan, FMT mendapati tikus berkeliaran dan terdapat sisa sampah di celah-celah bangunan.
Selain itu, kelihatan beberapa remaja berkumpul dengan rakan sebaya sewaktu azan Maghrib hampir tiba.
Ketika disapa mengapa berada di luar, mereka menjawab “rimas duduk dalam rumah je, kak.”