
Ketua Polis Daerah Padang Besar Muhamad Halim Yatim berkata, lelaki warga tempatan berumur 64 dan 45 tahun itu ditahan kira-kira 12.15 tengah malam tadi ketika pihaknya menjalankan tugas Op Covid-19 di kampung berkenaan.
Katanya dalam operasi itu, pihaknya mendapati sebuah kedai runcit masih beroperasi selepas waktu dibenarkan, iaitu pukul 10 malam.
“Ketika pemeriksaan dilakukan terdapat seorang pelanggan sedang membeli makanan dan seorang peniaga yang disyaki pemilik kedai masih berada di dalam kedai, mereka memberikan alasan yang tidak munasabah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kedua-dua suspek direman sehingga esok.
Sementara itu di Port Dickson, seorang kelindan lori dan seorang pelajar tingkatan 4 ditahan polis semalam selepas didapati ingkar PKP.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Aidi Sham Mohamed berkata, kedua-dua suspek lelaki yang berusia 19 dan 16 tahun itu yang menaiki sebuah motosikal tanpa memakai topi kaledar ditahan pada pukul 9 malam oleh 2 anggota polis yang sedang menjalankan rondaan di Jalan Batu 3, di sini.
“Semasa cuba menahan, suspek enggan memberhentikan motosikal yang ditungganginya. Bagaimanapun polis berjaya menahan suspek berdekatan sebuah kuil di Dataran Segar, iaitu lebih kurang 50 meter dari tempat kejadian.
“Semasa ditahan, suspek menghalang polis daripada membuat pemeriksaan ke atasnya dan enggan memberikan kerjasama dengan bertindak kasar serta mempertikaikan kuasa polis untuk menahannya semasa tempoh PKP,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aidi Sham berkata, ketika pemeriksaan juga kedua-dua suspek gagal mengemukakan kad pengenalan diri.
Katanya, kedua-dua suspek direman 4 hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 270 Kanun Keseksaan, Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 dan Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.