
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kerajaan bimbang ia akan mencetuskan gelombang ke-3 jangkitan Covid-19 di Malaysia.
Katanya, 8,000 penjawat awam daripada sebuah kementerian itu menempah penerbangan ke Jepun, Korea dan negara lain, dengan “ramai lagi daripada kementerian lain”.
“Tiga minggu lepas, kita meramalkan kemungkinan ada gelombang ke-3 atau tsunami jangkitan.
“Kalau 8,000 hanya daripada satu kementerian, katakan dengan anak-beranak semuanya 32,000 rakyat Malaysia pergi ke luar negara melancong,” katanya pada sidang media hari ini.
Malaysia menguatkuasakan PKP sejak 18 Mac lalu, sebelum melanjutkan perintah itu sehingga 14 Apr ini.
Merujuk kes ke-26 yang mengunjungi Jepun, Hisham berkata, pesakit itu ialah punca tercetusnya gelombang ke-2 dengan ratusan kes dicatatkan.
Beliau berkata, itu sebabnya KKM bimbang selepas mendapat tahu rancangan bercuti secara besar-besaran ketika musim cuti sekolah yang bermula 14 Mac lalu.
“Kita akan dapat kes import mendadak dan kita tidak ada kemampuan letakkan 32,000 orang di pusat kuarantin.”
Katanya, cara terbaik untuk menangani masalah itu ialah melaksanakan PKP bagi memastikan rakyat kekal di rumah dan mengurangkan risiko penularan Covid-19.
Kluster di Kluang
Sementara itu, Hisham berkata, KKM mengesyaki 4 kluster di Kluang, Johor membabitkan perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling yang menyebabkan 88 orang dijangkiti Covid-19 setakat ini.
“Siasatan sedang dijalankan dan kita rasa berdasarkan siasatan awal, mungkin ada 4 kluster yang berkaitan dengan jemaah tabligh, 4 kes ini hadir di perhimpunan Masjid Jamek Sri Petaling.
“Apabila mereka kembali ke kampung dan solat berjemaah di masjid dan menjangkiti jemaah lain dan kemudiannya mereka menghadiri majlis perkahwinan di kawasan berkenaan.”
Katanya, ia juga dipercayai mempunyai kaitan dengan kematian di kawasan itu.
“Ada kaitan dengan kematian di situ juga sebab itu kita laksana kawalan di kawasan tersebut.”
Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) mulai tengah malam tadi, selepas ramai penduduknya positif Covid-19.
Hisham berkata, sehingga kini 13,762 jemaah tabligh yang menyertai perhimpunan di Masjid Sri Petaling pada 27 Feb hingga 1 Mac lalu sudah menjalani ujian saringan kesihatan.
“Sampel yang diambil 12,317 dan kes positif 1,137. Yang negatif 6,623 dan ‘pending’ 4,557 kes.”