Kemalangan di Jakarta turun 10% sejak perintah berkurung

Kemalangan di Jakarta turun 10% sejak perintah berkurung

Jumlah kenderaan menggunakan jalan utama di Jakarta turun 25% sejak rakyat Indonesia diarah kerja dari rumah.

Kenderaan menggunakan jalan utama di Jakarta menurun 25.3% berbanding minggu sebelumnya. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Jumlah kemalangan jalan raya di Jakarta dilaporkan turun 10% sejak perintah berkurung yang menyaksikan rakyatnya bekerja dari rumah bermula 15 Mac lalu bagi memerangi penularan Covid-19 di republik itu.

“Jumlah kemalangan sejak perintah bekerja dari rumah dilaksanakan adalah 113 berbanding 126 yang direkodkan pada minggu sebelumnya,” kata Pengarah Lalu Lintas Polis Daerah Metro Jaya, Sambodo Purnomo Yogo.

Beliau berkata angka kemalangan yang direkodkan sehingga 21 Mac lalu menurun berikutan jumlah kenderaan di jalan utama di Jakarta turun mendadak sehingga 25% sejak perintah itu dikuatkuasakan.

Sambodo memberitahu 289,734 kenderaan direkodkan menggunakan jalan utama menurun 25.3% berbanding 387,935 pada minggu sebelumnya.

“Jakarta lengang, berlaku penurunan yang ketara di semua jalan utama,” katanya.

Jumlah keselurahan kenderaan dari 15 hingga 21 Mac dari arah selatan menurun kepada 428,302, berbanding 572,052 kenderaan yang melalui jalan yang sama pada 8 hingga 14 Mac.

Selain itu, data yang direkodkan Ditlantas Polda Metro Jaya juga menunjukkan jumlah kenderaan yang menggunakan lebuh raya pada hujung minggu juga menurun sehingga 56% pada 23 Mac berbanding minggu sebelumnya.

Sebelum ini pihak berkuasa di republik itu mengeluarkan arahan perintah berkurung di Jakarta bagi menangani wabak Covid-19 selama 2 minggu di Jakarta pada 20 Mac.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.