
Beliau mengaku bersalah di bawah Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia di depan Hakim Azura Alwi.
Jika gagal membayar denda RM17,000, Azwan akan dipenjarakan selama 6 bulan.
Hakim turut mengarahkan beliau memohon maaf di mahkamah secara terbuka.
Azwan memuat naik satu video di YouTube dengan niat menghina individu lain pada 24 Mac lalu. Susulan itu, satu laporan dibuat pada hari sama di Balai Polis Putrajaya.
Dalam video selama 42 saat itu, Azwan mengeluarkan kata-kata lucah dan mengecam doktor di Hospital Putrajaya selepas satu laporan polis dibuat terhadap penyanyi Dayangku Intan yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap doktor.
Sementara itu, Mahkamah Majistret Kajang menjatuhkan hukuman penjara 4 bulan ke atas seorang lelaki kerana mengingkari arahan polis untuk berhenti di satu sekatan jalan di Jalan Hulu Langat pada 24 Mac lalu.
Ahmad Fauzan Jais mengaku bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 26(2) Akta Polis dan Peraturan 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 26(2) Akta Polis, Fauzan dijatuhkan penjara 3 bulan, manakala satu bulan penjara untuk kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.
Hakim memerintahkan hukuman dilaksanakan berturut-turut.