KL Sentral ditutup 11 malam-5 pagi sepanjang perintah kawalan

KL Sentral ditutup 11 malam-5 pagi sepanjang perintah kawalan

Keputusan itu selari dengan KTMB, ERL dan RapidKL yang menamatkan perkhidmatan pada jam 10 malam sepanjang perintah kawalan.

Semua akses ke Stesen KL Sentral termasuk tempat pemunggahan, tempat letak kereta, platform kereta api dan NU Sentral akan ditutup.
PETALING JAYA:
Stesen Sentral Kuala Lumpur (SSKL) akan ditutup kepada orang ramai dari 11 malam hingga 5 pagi setiap hari sepanjang tempoh penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan yang berakhir 14 April ini.

Menurut Malaysia Resources Corporation Berhad (MRCB), keputusan itu dibuat selari dengan platform pengangkutan awam lain seperti Railways Malaya (KTMB), Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), dan RapidKL yang menamatkan perkhidmatannya pada jam 10 malam sepanjang perintah kawalan.

“Semua akses ke SSKL termasuk masuk melalui tempat pemunggahan (loading bay), tempat letak kereta, platform kereta api dan NU Sentral akan ditutup.

“Bagaimanapun, pintu masuk utama SSKL di tingkat 2 (Hilton Kuala Lumpur & Le Meridien Kuala Lumpur) tetap boleh diakses untuk tujuan kecemasan dan dipantau oleh polis bantuan MRCB,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MRCB berkata semua perkhidmatan kereta api seperti LRT, MRT, KLIA Express, KLIA Transit, ETS, KTM komuter, KTM Inter-city dan KTM Skypark turut mengehadkan operasi dari 6 pagi hingga 10 pagi dan 5 petang hingga 10 malam bermula semalam.

Pengendali bas seperti RapidKL, GoKL Smart Selangor dan rangkaian bas lain serta teksi turut menghadkan perkhidmatan mereka.

MRCB juga menggesa orang ramai mematuhi perintah kawalan dan menyahut seruan kerajaan untuk kekal berada di dalam rumah.

Terdahulu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan tempoh lanjutan perintah kawalan pergerakan selama 2 minggu sehingga 14 April sebagai langkah kerajaan memerangi wabak Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.