PM: Kes Covid-19 naik lebih sekali ganda dalam 1 minggu

PM: Kes Covid-19 naik lebih sekali ganda dalam 1 minggu

Sehingga 12 tengah hari tadi, kes positif meningkat kepada 1,796 kes berbanding 673 pada 7 hari lalu.

Jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 meningkat kepada 1,796 kes sehingga 12 tengah hari tadi berbanding 673 kes pada 7 hari lalu.
PETALING JAYA:
Jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 meningkat lebih sekali ganda dalam tempoh hanya 1 minggu, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum mengumumkan perintah kawalan pergerakan dilanjutkan sehingga 14 April.

Muhyiddin dalam perutusan hari ini berkata sehingga 12 tengah hari tadi, jumlah keseluruhan kes positif meningkat kepada 1,796 kes berbanding 673 kes pada 7 hari lalu.

“Jumlah kematian juga meningkat kepada 17 orang termasuk seorang doktor,” katanya.

Perdana menteri mengingatkan rakyat bahawa keadaan berkemungkinan menjadi lebih sukar, memandangkan Covid-19, sejenis wabak yang tidak pernah dihadapi sebelum ini, menunjukkan kadar jangkitan yang begitu cepat.

“Tidak pernah kita jangkakan kehidupan kita akan berubah dengan sekelip mata hanya kerana sejenis wabak…hari ini seramai 422,829 orang dijangkiti wabak ini di seluruh dunia dengan 18,907 kematian,” katanya.

Perdana menteri berkata Kementerian Kesihatan melakukan persiapan kerana menjangkakan kes-kes baru akan terus dicatatkan dalam masa terdekat.

Ini termasuk menyediakan 3,585 katil di 34 buah hospital untuk menerima pesakit Covid-19. Menurutnya, pada masa ini 34% kapasiti katil hospital sedang digunakan, dan 66% lagi masih boleh menampung pesakit.

Perdana menteri menambah beberapa tempat dikenalpasti untuk dijadikan pusat pengasingan dan kuarantin sementara jika jumlah kes positif Covid-19 melebihi kapasiti di hospital.

“Saya tahu para doktor, jururawat, dan kakitangan hospital amat keletihan pada masa ini. Saya mengarahkan kementerian supaya memberikan sedikit masa untuk petugas kesihatan kita mengambil cuti rehat secara berperingkat sebelum kembali bertugas.

“Sementara itu, tenaga sukarela dalam kalangan doktor dan jururawat swasta dan badan-badan sukarela akan digerakkan untuk mengambil alih tugas buat sementara waktu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.