Fokus kesihatan, usah bimbang Olimpik Tokyo ditunda, MOM beritahu atlet

Fokus kesihatan, usah bimbang Olimpik Tokyo ditunda, MOM beritahu atlet

Ia susulan keputusan IOC menangguhkan Olimpik Tokyo 2020 akibat penularan Covid-19.

Seorang pelancong memakai topeng bergambar dengan simbol Olimpik di daerah Odaiba, Tokyo. (Gambar AP).
PETALING JAYA:
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menasihatkan atlet negara tidak bimbang mengenai isu kelayakan ke Olimpik Tokyo 2020 susulan penangguhan penganjuran temasya itu akibat penularan Covid-19.

Setiausaha Agung MOM, Mohd Nazifuddin Najib berkata, apa yang penting buat masa ini ialah atlet dan pegawai sukan menjaga keselamatan serta kesihatan diri.

“Kita terima berita keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) membuat rancangan untuk menangguhkan Olimpik Tokyo 2020 dengan baik, ini menunjukkan mereka proaktif untuk melihat solusi menangani pandemik ini.

“Dengan keadaan dunia yang semakin membimbangkan, keselamatan atlet dan orang awam harus diutamakan. Sekarang yang paling penting untuk atlet dan pegawai ialah keselamatan dan kesihatan mereka.

Setiausaha Agung MOM, Mohd Nazifuddin Najib berkata, atlet dan pegawai sukan perlu mengutamakan kesihatan sendiri untuk menjadi contoh kepada masyarakat Malaysia dalam melawan pandemik Covid-19.

“Janganlah bimbang isu kelayakan atau Olimpik. Fokus kesihatan sendiri supaya menjadi contoh kepada masyarakat Malaysia. Kita terus bersatu untuk melawan pandemik Covid-19,” katanya kepada FMT.

Semalam, IOC mengumumkan penangguhan Olimpik Tokyo 2020 ke tahun depan akibat penularan Covid-19 di seluruh dunia.

Olimpik Tokyo pada mulanya dijadualkan bermula 24 Julai hingga 9 Ogos ini, manakala Paralimpik mulai 25 Ogos hingga 6 Sept.

Temasya 4 tahun sekali itu tidak pernah ditangguhkan sebelum ini, tetapi ia pernah dibatalkan pada 1916, 1940 dan 1944 ketika perang dunia ke-2, serta boikot Perang Dingin utama yang menjejaskan Olimpik Moscow dan Los Angeles pada 1980 serta 1984.

Nazifuddin berkata, MOM masih menunggu pengumuman rasmi IOC dan Jawatankuasa Sukan Olimpik Tokyo berhubung penangguhan temasya itu.

“Sebagai badan Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan di bawah IOC, kita sedia membantu untuk terus menjayakan Olimpik walaupun ditangguhkan. Olimpik boleh menjadi dorongan untuk negara-negara sedunia bersatu menangani pandemik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.